PETALING JAYA: Doktor kontrak yang ditemu duga untuk pelantikan sebagai pegawai perubatan tetap ditanya soalan biasa, iaitu sama ada mereka bersedia untuk berkhidmat di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak sekiranya terpilih.
Mereka memberitahu, soalan itu ditanya oleh pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang menemu duga 6,000 doktor kontrak yang memohon diserap ke dalam perkhidmatan tetap kerajaan.
“Penemu duga bertanyakan soalan ini secara terus dan doktor perlu memberikan jawapan yang pasti. Mereka tidak boleh mengatakan akan mempertimbangkan atau hanya menerimanya jika tidak dihantar ke kawasan pedalaman,” kata seorang doktor.
Dia diberitahu pegawai-pegawai itu bahawa Sabah dan Sarawak berdepan kekurangan pegawai perubatan, terutamanya di kawasan pedalaman dan kebarangkalian untuk mereka dihantar ke sana adalah tinggi jika berjaya dalam temu duga.
“Pegawai SPA berkata, ramai pegawai perubatan yang berkhidmat lebih dua tahun di Sabah dan Sarawak memohon untuk ditukarkan kembali ke Semenanjung,” katanya.
Seorang lagi doktor berkata, mereka mungkin dihantar ke klinik kesihatan terpencil dan mungkin perlu melakukan perjalanan dengan menaiki bot untuk membuat saringan atau merawat pesakit.
“Sebahagian daripada kami percaya ini bagi membolehkan prosedur pemilihan dilakukan lebih mudah. Sebaik sahaja seseorang calon berkata tidak bersedia, mereka akan digugurkan serta merta,” katanya.
Bagaimanapun katanya, semakan rambang menunjukkan kebanyakan daripada mereka bersedia dihantar ke sana. Kebanyakan mereka yang enggan terdiri daripada wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai anak.
Temu duga yang diadakan di seluruh negara itu bermula beberapa minggu lalu dan dijangka selesai akhir bulan ini. Doktor terbabit berkata, mereka diberitahu bahawa keputusan temu duga akan diketahui dalam tempoh dua ke tiga bulan.
Pada April, SPA berkata, ia menerima sebanyak 10,593 permohonan menerusi sistem pendaftaran pekerjaan. Difahamkan, daripada jumlah ini lebih 6,000 dipanggil untuk temu duga.
Februari lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan seramai 4,186 kakitangan kesihatan kontrak akan diserap ke jawatan tetap mulai Jun. Katanya, jumlah itu merangkumi 3,586 pegawai perubatan, 300 doktor gigi dan 300 ahli farmasi. – FMT