BERSATU Sabah masih utuh, semua bahagian masih wujud – Abdul Kadir

ABDUL-KADIR-DAMSAL.jpg

Abdul Kadir

KENINGAU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mengesahkan tidak ada bahagian dan cawangan parti itu di negeri ini terbubar.

Borneo Digest dalam laporannya semalam memetik Setiausaha Bersatu Sabah Abdul Kadir Abdullah @ OKK Damsal sebagai berkata, kesemua 25 bahagian parti itu di Sabah masih wujud dalam daftar Jabatan Pendaftaran Negara (ROS).

“Parti Bersatu di Sabah pendaftarannya masih kukuh … tidak bubar … dalam Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak ada satu pun bahagian atau cawangan bubar,” katanya.

Menurut beliau lagi penyusunan dalam badan pimpinan Bersatu negeri telah lengkap dengan semua bahagian mempunyai jawatankuasa penuh termasuk sayap-sayap Serikandi, Armada dan Serikandi Muda.

“Cuma satu sahaja di Tenom belum diisi dengan lengkap tetapi ramai yang berminat namun kita mempunyai pandangan yang strategik sebelum memutuskan siapa yang sangat tepat untuk mengemudi bahagian itu,” katanya lagi.

Abdul Kadir berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Jawatankuasa Bahagian, Ketua Penyelaras dan Penerimaan Ahli Baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabah Bahagian Keningau.

Pesara guru Johnny Anthony Kadau menerajui bahagian itu bagi menggantikan Datuk Azman Hj. Roslan yang kini telah berhijrah ke Parti Gagasan Rakyat Sabah.

Seramai 28 orang ahli jawatankuasa baharu bahagian itu menerima watikah pelantikan, melibatkan ketua-ketua penyelaras DUN Liawan, Bingkor dan Tambunan.

Seramai 200 ahli baharu turut menyertai parti itu, apa yang Abdul Kadir sifatkan petanda positif menunjukkan parti itu masih berpengaruh dan diterima oleh rakyat di kawasan pedalaman Sabah.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top