Bersatu Sabah Mahu Tuntutan Sulu Dibincangkan di DUN, Parlimen

khairul-firdaus.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Bersatu Sabah Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata isu tuntutan Kesultanan Sulu wajar dibincangkan antara pemimpin sama ada di negeri dan pusat kerana membabitkan kedaulatan Sabah.

Katanya, semua wakil rakyat di negeri itu harus bersatu hati dalam usaha menangani masalah yang sudah berlanjutan sejak ratusan tahun.

“Semua wakil rakyat kita sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu mempunyai kebersamaan sehingga isu tuntutan Sulu ini menemui titik penghujungnya.

“Perkara ini melibatkan kedaulatan negeri kita dan hal sebegini tidak boleh dibincangkan dengan melihat kepada perbezaan serta sudut pandang negatif,” katanya dalam kenyataan.

Khairul Firdaus berkata, semua pemimpin Sabah tidak boleh menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai halangan untuk bersatu dalam menyuarakan isu Sulu dan kedaulatan Sabah.

“Semua pemimpin Sabah wajar mencari solusi dan menetapkan pendirian bersama dalam usaha bagi membincangkan isu tuntutan Sulu. Sekarang bukan masanya untuk saling tunding jari kerana isu tuntutan Sulu bukan isu kecil yang boleh kita pandang mudah,” katanya.

Khairul Firdaus berkata, banyak persoalan perlu dibincang berkenaan isu berkenaan, termasuk kes pencerobohan di Lahad Datu dan isu tuntutan terhadap aset milik negara.

Katanya, rakyat tidak harus terus dikaburi dengan penjelasan kurang jelas mengenai perkara itu.

“Perbincangan tentang tuntutan ini perlu diteliti secara teliti dan diatasi sebaiknya kerana tuntutan waris Sulu yang tidak diselesaikan oleh Malaysia menyebabkan berlakunya rampasan aset Petronas di luar negara.

“Oleh itu, ada baiknya hal ini segera diatasi dengan cara semua pemimpin Sabah bersatu hati,” katanya.

Kelmarin, usul mengenai isu tuntutan Sulu yang masing-masing dibawa wakil rakyat Warisan ditolak speaker DUN serta Dewan Rakyat.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top