KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dijangka akan membincangkan pada mesyuarat akan datang sama ada parti itu akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi 5 Disember depan.
Portal berita Malaysiakini melaporkan, Timbalan Pengerusi BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun memberitahu melalui satu kiriman pesanan teks bahawa mesyuarat tersebut dijadualkan pada Sabtu ini.
Setakat ini sebahagian besar parti politik dari kedua-dua belah pihak di Sabah memutuskan untuk tidak menyertai pilihan raya kecil itu berikutan pandemik Covid-19.
Ini termasuk BN, Pakatan Harapan, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).
Ini secara tidak langsung memberi laluan bagi Warisan untuk mempertahankan kerusi tersebut berikutan kematian anggota parlimennya, Liew Vui Keong, yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2018 atas tiket Warisan.
BERSATU bagaimanapun belum membuat keputusan mengenai pilihan raya kecil tersebut.
Pilihan raya kecil itu diadakan di tengah-tengah kebimbangan mengenai lonjakan kes Covid-19 di Sabah setelah pilihan raya negeri diadakan pada 26 Sept lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada hari terakhir 60 hari yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan
Pada 31 Okt lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau berusaha mendapatkan perisytiharan darurat kerana bimbang pilihan raya kecil Batu Sapi dan pilihan raya negeri Sarawak akan memburukkan penularan Covid-19.
Perkara 150 Perlembagaan membenarkan darurat diisytiharkan di daerah setempat.