BERSATU Nak Dua Kerusi Di Lahad Datu

Hajiji-Lahad-Datu.jpg
Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan meletakkan sekurang-kurangnya dua calon di Bahagian Lahad Datu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau akan memastikan dua daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahagian Lahad Datu diberi kepada calon pilihan parti itu.

“Dua calon ini mesti menang, kita tiada pilihan selain menang kerana kita mahu menubuhkan kerajaan,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Bersama Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah, di sini.

Menurutnya, persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di Bahagian Lahad Datu menyaksikan empat DUN yang akan dipertandingkan iaitu DUN Kunak, Silam, Tungku dan Segama sebagai DUN baharu.

Tanpa menyebut kerusi DUN yang bakal diduduki calon BERSATU, Hajiji menyeru semua penyokong bekerjasama demi memenangkan semua empat calon parti komponen Parikatan Nasional (PN) di bahagian ini.

“Kita tidak ambil semua, yang dua (kerusi DUN) kita perlu beri kemenangan sebab kita tiada pilihan selain menang kerana tujuan kita mahu ambil kuasa daripada kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN),” katanya.

Beliau yang juga Ketua BERSATU Tuaran berkata, kerajaan WARISAN telah mengemudi kerajaan Sabah dua tahun setengah namun tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan malah ekonomi dan kebajikan rakyat Sabah teruk.

Katanya, kerajaan WARISAN telah gagal mentadbir Sabah dan episod kegagalan itu berpunca daripada tindakan dan keputusan yang tidak bersesuaian serta tidak berapa bijak.

“Kali ini kita mahu kerajaan jangan rugikan rakyat, kalau tidak sehaluan dengan Persekutuan ini merugikan rakyat.

“Perjuangan kita untuk rakyat, banyak dana peruntukan dari Persekutuan untuk pembangunan, sekarang WARISAN dalam pembangkang tidak dapat apa-apa, yang rugi adalah rakyat,” katanya.

Hajiji berkata, tindakan bekas wakil rakyat WARISAN dan sekutunya meninggalkan parti menunjukkan sesuatu yang tidak kena dalam kerajaan negeri.

Pada majlis itu, sebanyak 200 borang keahlian diserahkan untuk menyertai BERSATU termasuk mantan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) DUN Tungku pilihan raya lalu Jamal Sulai.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) BERSATU merangkap Ketua BERSATU Bahagian Silam Abdul Hakim Gulam Hassan, AMT BERSATU Datuk Seri Lajim Ukin, Exco Srikandi BERSATU merangkap Ketua Srikandi BERSATU Silam Mizma Appehdullah. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

1 Reply to “BERSATU Nak Dua Kerusi Di Lahad Datu”

  1. Bulud Opie says:

    Kacau daun saja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top