LAHAD DATU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Lahad Datu menerima sebanyak 500 keahlian baharu daripada masyarakat Cina dan India, di sini.
Ketua BERSATU Lahad Datu, Abdul Hakim Gulam Hassan berkata pihaknya sangat berbesar hati dengan penyertaan daripada kaum lain dalam parti ini.
Katanya, penyertaan mereka berikutan parti ini telah menubuhkan Sayap Bersekutu BERSATU Malaysia yang ahlinya adalah dalam kalangan bukan bumiputera.
“Kewujudan Sayap Bersekutu ini adalah langkah tepat untuk menarik sokongan dalam kalangan bukan bumiputera dan dapat memantapkan lagi BERSATU di Lahad Datu.
“Saya cukup yakin sokongan rakyat terhadap parti BERSATU di daerah ini akan terus bertambah dengan adanya ahli-ahli daripada kaum Cina dan India,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan borang keahlian dan ramah mesra pemimpin bersama Persatuan-Persatuan Masyarakat Cina, di sini baru-baru ini.
Abdul Hakim turut mengumumkan Thomas Wong sebagai Ketua Sayap Bersekutu BERSATU Lahad Datu.
“Saya berharap Thomas dapat menjalankan amanah dengan lebih baik dan mampu mewakili parti dalam menyebarkan dasar-dasar kerajaan.
“Keahlian dalam kalangan masyarakat bukan bumiputera dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa kerana kepercayaan mereka terhadap kepimpinan atasan BERSATU,” katanya.
Turut hadir, Datuk Nagaraju Applasamy selaku Ahli Jawatankuasa Penaja Bersekutu BERSATU Malaysia, Lahad Datu. – Utusan Borneo