LAHAD DATU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Lahad Datu terbuka untuk bekerjasama dengan Datuk Mohamaddin Ketapi demi kepentingan rakyat di daerah ini.
Ketuanya, Abdul Hakim Gulam Hassan (gambar) berkata pihaknya mendapat khabar yang sahih berkenaan Ahli Parlimen Lahad Datu itu keluar daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN).
“Saya beranggapan, tindakan beliau disebabkan dia telah hilang kepercayaan dengan kepimpinan parti lamanya yang gagal membantu menangani masalah rakyat di negeri ini.
“Beliau sendiri juga sudah dapat menilai bahawa kerajaan sekarang di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telus dan berjaya membela nasib rakyat,” katanya ketika ditemui media, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, BERSATU Lahad Datu belum ada lagi berjumpa atau menjalinkan kerjasama dengan Mohamaddin setakat ini.
“Kita hanya tahu melalui media berkenaan tindakannya itu dan sehingga sekarang beliau belum menyatakan sokongan kepada mana-mana parti dalam kerajaan.
“Bagaimanapun, kita sentiasa terbuka sekiranya beliau mahu menjalinkan kerjasama dengan BERSATU Lahad Datu,” katanya.
Mengenai dakwaan Mohamaddin bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama tercicir daripada pembangunan, Abdul Hakim berkata seharusnya dia sendiri yang perlu bertanggungjawab.
“Mohamaddin adalah wakil rakyat DUN Segama, dia yang lebih tahu berkenaan pembangunan di sana samada baik atau sebaliknya.
“Saya beranggapan keprihatinan beliau terhadap masalah di DUN Segama juga antara sebab dia bertindak menyokong kepimpinan kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.