KOTA MARUDU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata Bersatu Kota Marudu kekal utuh walaupun pengerusinya Datuk Wetrom Bahanda meninggalkan parti itu.
Katanya, sebagai pemimpin Bersatu Sabah (PPBM) beliau memberi jaminan bahawa parti itu akan terus kekal utuh di Kota Marudu walaupun tanpa Wetrom.
Bersatu juga katanya akan terus menyokong calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili untuk kerusi Parlimen Kota Marudu.
“Kita tidak seharusnya membuat perhitungan yang salah dalam politik. Saya difahamkan Parti Warisan sedang memancing terutamanya menjelang pilihan raya. Kita tahu niat mereka … cakap tak serupa bikin.
“Mereka hanya bercakap. Apakah yang telah mereka lakukan selama dua tahun setengah menerajui kerajaan Sabah? Mereka tiada hala tuju selain berpolitik tanpa mengambil kira kepentingan rakyat berbilang kaum di negeri ini,” katanya pada program Jelajah GRS Kota Marudu di sini, hari ini.
Menurut Hajiji kepimpinan Dr Maximus yang merupakan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) masih sangat diperlukan oleh rakyat di sini.
“Beliau telah melakukan begitu banyak untuk Kota Marudu. Jika ada pihak tertentu atau pembangkang yang mendakwa bahawa tiada pembangunan di Kota Marudu, ini kita tidak boleh terima. Ia adalah pembohongan semata-mata.
“Kita boleh lihat sendiri Kota Marudu telah melalui satu transformasi besar sejak beliau (Dr Maximus) menjadi Ahli Parlimen dan menteri Persekutuan,” katanya.
Hajiji yang merupakan pengerusi GRS berkata Dr Maximus adalah pemimpin yang disegani oleh pemimpin Persekutuan kerana beliau adalah seorang pemimpin yang telah memperjuangkan hak Sabah sejak dari dahulu lagi dan kini sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak beliau meneruskan perjuangannya dalam majlis khas MA63.
Hajiji juga berkata GRS adalah platform menyatupadukan semua parti tempatan yang mewakili pelbagai bangsa di negeri ini agar kerajaan persekutuan mendengar suara pemimpin Sabah.
“Saya harap rakyat akan faham asas asas GRS. Kita tidak boleh mengulangi kita kesilapan lalu. Kita mudah berpecah dan tidak dapat menuntut hak-hak kita kerana kita tidak bersatu,” katanya.
Katanya, beliau juga telah bertemu dengan Premier Sarawak baru-baru ini yang mana wujud persefahaman bersama bahawa Sabah dan Sarawak perlu menjadi satu suara dalam negara ini.
Katanya, sepanjang dua tahun lepas, kerajaan negeri telah mencapai banyak kejayaan.
“Inilah kita mahukan, sekiranya kita bersatu, kita akan berjaya mendapatnya,” katanya sambil menambah beberapa kejayaan dicapai oleh Sabah seperti menerima lebih banyak kepentingan dari sumber minyak dan gas negara.
Ketua menteri itu turut memberitahu bahawa satu pengumuman akan dibuat tidak lama lagi berhubung ekuiti Sabah dalam projek Petronas di Sabah.
Sementara itu turut hadir pada Program Jelajah GRS hari ini ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Setiausaha Agung Parti Solidariti Sabah (STAR) Datuk Edward Linggu, ADUN Tandek merangkap pengerusi penganjur Hendrus Anding serta barisan kepimpinan Bersatu bahagian Kota Marudu.