Bersatu Hantar Notis Pada Speaker, Maklumkan 4 Kerusi Kosong Di Sabah

MP-GRS.jpg

Dari kiri: Armizan, Khairul Firdaus, Jonathan dan Matbali.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilaporkan telah menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memastikan bahawa telah berlaku kekosongan “luar jangka” di empat kerusi Parlimen di Sabah yang didakwa ditandingi sebagai ahli Bersatu.

FMT dalam laporannya hari ini memetik Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai berkata permohonan sudah dibuat kepada Speaker supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.

Menurut laporan itu Kiandee juga berkata, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengesahkan bahawa keempat-empat Ahli Parlimen itu adalah calon yang bertanding sebagai ahli Bersatu pada PRU15 merujuk kepada surat bertarikh 3 Nov daripada Setiausaha Bersatu Sabah.

“Telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan melibatkan empat daripada ahlinya yang telah bertanding dalam PRU15 sebagai ahli parti Bersatu dengan menggunakan logo parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Keahlian mereka dalam GRS adalah sebagai anggota parti Bersatu,” katanya dalam kenyataan.

Keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan adalah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran, ketika mengulas lanjut, berkata tindakan empat Ahli Parlimen terbabit duduk di blok kerajaan dan tidak menyokong Bersatu merupakan tindakan “crossing the floor” dan ia melanggar janji pilihan raya kepada pengundi.

“Akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai anggota parti Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti Bersatu dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat Bersatu bertarikh 21 Dis 2022.

“Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” katanya.

Pada 10 Dis, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan kesemua pimpinan tinggi Bersatu Sabah keluar parti, termasuk empat Ahli Parlimen itu.

Jelasnya, di peringkat persekutuan, Bersatu adalah pembangkang, manakala GRS telah berikrar menyokong kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi GRS Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata empat Ahli Parlimen itu tidak dikira melompat kerana bertanding atas tiket GRS, sambil menambah mereka menerima ‘surat watikah’ bertanding PRU15 daripada GRS, bukannya Bersatu.

Beliau juga merujuk kedudukan mereka dalam Bersatu terhenti selepas menjadi ahli GRS, pada 27 Okt, memandangkan perlembahaan dalam Bersatu sendiri menyatakan keanggotaan gugur secara automatik sekiranya menjadi ahli parti lain.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top