KUALA LUMPUR: Bersatu memfailkan permohonan untuk memulakan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi di sini, terhadap Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan yang lain, ketika parti itu cuba mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.
Dalam permohonannya pada 17 April untuk memulakan semakan kehakiman, Bersatu berkata keputusan Johari tidak mengosongkan kerusi Ahli Parlimen Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang, yang dahulunya bersama Bersatu, adalah “tidak sah”.
Dalam permohonan itu, yang dilihat FMT, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendakwa Johari “tersilap” dalam keputusannya untuk tidak mengisytiharkan pengosongan kerusi terbabit.
![](https://www.sabahgazette.com/wp-content/uploads/2022/12/MP-GRS.jpg)
Dari kiri: Armizan, Khairul Firdaus, Jonathan dan Matbali.
Kerusi itu disandang Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).
Empat Ahli Parlimen itu dipilih atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU15 lalu, ketika Bersatu sebahagian daripada GRS.
Bagaimanapun, selepas pilihan raya itu, GRS menggugurkan Bersatu sebagai rakan gabungan.
Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilaporkan berkata parti itu mengeluarkan surat pemecatan kepada empat Ahli Parlimen itu pada 21 Dis lalu.
Ini kerana, katanya, mereka duduk bersama blok kerajaan pada sidang Dewan Rakyat 19 Dis lalu, dan ia bermakna mereka telah “melompat”.
Beliau mendakwa ini mencetuskan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi mereka jika melompat ke parti lain. Pengecualian diberikan kepada Ahli Parlimen dipecat parti atau jika parti mereka dibubar atau dibatalkan pendaftaran.
Bersatu mahu mahkamah membatalkan keputusan Johari, yang telah dimaklumkannya kepada parti itu dalam surat bertarikh 16 Jan, dan seterusnya memerintahkan Speaker mengisytiharkan empat kerusi itu kosong.
Parti itu juga berkata, sekiranya semakan kehakiman mereka berjaya, Johari perlu memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengisi kekosongan itu dalam 21 hari.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh akan mendengar permohonan kebenaran Bersatu untuk memulakan semakan kehakiman pada 30 Mei ini.-FMT