KOTA KINABALU: Sebuah pasukan petugas khas dibentuk untuk mengkaji input dan pengisian Belanjawan 2021 Negeri Sabah yang akan dibentangkan pada bulan ini.
Tim terbabit yang dikenali sebagai Pasukan Petugas Khas Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Sabah akan merumus syor dan cadangan untuk perhatian Kerajaan Negeri.
Ketua Penerangan BPN BERSATU Sabah Khairul Firdaus Akbar (gambar) berkata, kebajikan, kesejahteraan rakyat dan ketahanan ekonomi menghadapi pandemik antara yang ditekankan.
“Perkara ini diputuskan melalui Mesyuarat BPN BERSATU Sabah yang membincangkan pelbagai perkara susulan permintaan Ketua Menteri,” katanya, di sini.
Khairul berkata, semua 25 Bahagian BERSATU diberi ruang untuk mendapatkan maklum balas akar umbi berhubung permasalahan rakyat, khususnya berkaitan COVID-19.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara dapatan yang diperolehi keperluan meningkatkan keberkesanan mekanisme penyampaian kepada golongan terjejas di semua peringkat.
“Beberapa tindakan segera perlu dilaksanakan termasuk menambah penglibatan jentera penyampaian untuk membantu petugas kerajaan di peringkat barisan petugas hadapan.
“Seperti Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat selain sistem pengesanan golongan rakyat terjejas akses dan berkaitan sumber keperluan makanan,” katanya.
Menurutnya, BPN Sabah juga berterima kasih dengan Kerajaan Persekutuan kerana menunjukkan keprihatinan dan bantuan berterusan kepada negeri dan rakyat Sabah. – Utusan Borneo