KOTA KINABALU: Srikandi Bersatu Sabah menyambut baik kenyataan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu bertahan jika semua komponen dapat bekerja sebagai satu pasukan dalam memenuhi aspirasi rakyat di negeri ini.
Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, Srikandi Bersatu Sabah juga percaya dan yakin walaupun Kerajaan sekarang dibentuk daripada parti gabungan jika semua bekerja sebagai satu pasukan gabungan itu pasti akan terus bertahan.
“Rakyat telah meletakkan kepercayaan serta aspirasi yang tinggi kepada Kerajaan yang ada hari ini. Justeru kita perlu menghargai kepercayaan tersebut dengan kesungguhan bekerja untuk memajukan Sabah.
“Usaha itu bukan sahaja mampu menstabilkan politik dan Kerajaan Sabah tetapi juga mampu membantu melonjakkan lagi perkembangan ekonomi dan kemajuan negeri,” ujarnya.
Tambah beliau, Srikandi Sabah berharap dengan adanya GRS yang didaftar secara rasmi ia bukan sahaja melancarkan gerak kerja kerajaan tetapi juga gerak kerja parti dalam mendekati rakyat serta menyelesaikan pelbagai isu rakyat.
Jelasnya, Srikandi Sabah mahu gabungan ini menjadi satu gabungan yang kuat dan erat bekerja demi Sabah.
“Masa depan rakyat Sabah bergantung kepada Kerajaan yang kuat dan stabil. Itu yang menjadi asas kepada kelancaran pentadbiran dan pembangunan rakyat,” katanya semasa merasmikan penutupan Kursus IT Srikandi Bersatu Sabah di sini semalam.
Semasa merasmikan program “Backbenchers Retreat” di Kudat, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, beliau yakin Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu bertahan jika semua parti gabungan dan wakil rakyatnya dapat berkerja sebagai satu pasukan dalam memenuhi aspirasi rakyat di negeri ini.
Katanya, walaupun kerajaan sekarang dibentuk oleh sembilan buah parti gabungan dan dianggap rapuh, namun jika ada kesepakatan yang padu di kalangan anggota serta wakil rakyatnya tidak ada sebab gabungan ini tidak mampu bertahan. –Warta Oriental