BERNAS Bangunkan SMART SBB Di Kampung Kulambai

bernas.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kawasan sawah padi di Kampung Kulambai Kota Belud antara empat kawasan yang dikenal pasti berpotensi di negara ini untuk Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

BERNAS menyasarkan kawasan berkenaan yang mempunyai produktiviti rendah dengan mengunjurkan lonjakan hasil antara 40 hingga 60 peratus semusim.

Menurut kenyataan media BERNAS, pelaksanaan Program SMART SBB seiring dengan matlamat kerajaan dalam meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara iaitu sebanyak 75 peratus.

Sehubungan itu, SMART SBB akan terus komited dalam merangka hala tuju strategik bagi memperkasakan industri padi dan beras negara.

Program berkenaan juga salah satu inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi menyatukan tanah sawah untuk membentuk satu sistem pengurusan ladang berpusat

Sistem berpusat ini dilihat dapat mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada serta meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi negara.

Kawasan sawah padi lain yang dikenal pasti BERNAS untuk program itu adalah Batang Lupar Sarawak, Sungai Batu Pahat Perlis dan Setiu Terengganu.

Buat masa ini, kerja-kerja pemulihan infrastruktur dan tanah serta penanaman padi sedang giat dijalankan di kawasan yang terlibat.

Cabaran dalam melaksanakan program SMART SBB memerlukan ketelitian yang menyeluruh.

Sebagai contoh dalam membangunkan tanah sawah yang sudah lebih 10 tahun terbiar seperti di Kampung Kulambai Kota Belud dan kawasan luar jelapang seperti Sungai Batu Pahat di Perlis.

Komitmen pesawah BERNAS bekerjasama dengan hampir 200 pesawah yang turut didedahkan dengan teknik serta amalan pertanian baik bagi menguruskan sawah berskala besar.

Penglibatan pesawah yang juga elemen terpenting dalam program ini turut menunjukkan angka yang memberangsangkan.

Para pesawah yang terlibat amat komited serta berdisiplin dalam mengikuti Jadual Kerja Ladang yang ditetapkan bagi mendapatkan kadar hasil dan mutu padi yang lebih berkualiti.

Sebagai salah sebuah syarikat peneraju SMART SBB, BERNAS akan sentiasa memberi sokongan terhadap pesawah melalui pelbagai platform perkongsian ilmu pengetahuan bagi memacu kejayaan mereka.

Selain itu, BERNAS juga turut merancang untuk memperluaskan lagi program SMART SBB ini kepada jenis padi yang lain seperti beras wangi pada masa akan datang. – Utusan Borneo

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top