KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) adalah parti yang paling cepat berkembang di Malaysia meskipun pada awal pendaftarannya pada 2016 masih ramai melihat perjuangan parti kurang realistik.
Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, pendaftaran STAR merupakan kesinambungan dari kewujudan STAR Sarawak di Sabah yang telah bermula dengan kemenangan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Nampaknya dalam tempoh yang singkat, penerimaan rakyat ke atas dasar dan matlamat perjuangan STAR meningkat terus-menerus,” katanya.
Dr Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menegaskan, penerimaan rakyat terhadap perjuangan STAR semakin nyata apabila parti itu menjadi gabungan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat negeri.
Jelas Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau dan ADUN Tambunan, rakyat telah memberi STAR kedudukan penting melalui kemenangan enam dari lapan calon bertanding pada pilihan raya umum negeri lalu.
Dr Jeffrey berkata demikian ketika berucap di Malam Solidariti Mesyuarat Agung Perwakilan Tri-Tahunan STAR Ke-2 yang bersempena dengan Majlis Harijadi Ke-74 beliau di Sokid Villa kelmarin.
Mengimbas tentang majlis dua dalam satu itu, Dr Jeffrey menyatakan perjalanan hidup pemimpin dan perjuangan parti adalah dua elemen kehidupan yang berjalan seiringan.
“Pemimpin merintis perjuangan dengan menempuh pelbagai rintangan dan halangan, namun sampai masanya harus ada pejuang parti yang mengangkat dan meneruskan perjuangan yang telah kita pelopori,” jelas beliau.
Mesyuarat Agung Perwakilan Tri-Tahunan STAR Ke-2 berlanjutan hari ini dengan pengumuman pemilihan kepimpinan baharu parti.