KOTA KINABALU: Tindakan tegas akan diambil terhadap sebuah portal berita yang didakwa menyiarkan laporan tidak benar kononnya pemain Sabah FC terbabit dalam satu nahas pesawat.
Sabah FC melihat tindakan tegas itu perlu kerana penyiaran laporan bertajuk ‘Nahas Pesawat Tragis Meragut Nyawa Pemain Terbaik Sabah FC’ itu merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
BHarian memetik pengurus kelab itu Rafie Robert sebagai berkata Sabah FC akan menimbang untuk membuat laporan polis dalam masa terdekat agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap portal terbabit.
Menurut Rafie Sabah FC ketika ini giat menjalani latihan untuk perlawanan persahabatan dengan Tawau FA pada 12 Oktober ini, manakala empat pemain menyertai skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan di New Zealand pada 14 Oktober.
Berikutan itu, katanya “Empat pemain iaitu Stuart Wilkin, Dominic Tan, Daniel Ting dan Darren Lok dipanggil ke skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan menentang New Zealand di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober ini.
“Laporan portal itu berniat jahat dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak pengurusan Sabah FC serta peminat bola sepak di negeri ini.
“Kami akan membuat laporan polis dalam tempoh terdekat untuk memastikan perkara ini tidak berulang pada masa depan demi keselamatan pemain Sabah FC,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Laporan portal bertarikh 5 Oktober itu, antara lain menulis mengenai dunia bola sepak sedang berduka selepas nahas kapal terbang yang dahsyat meragut nyawa beberapa pemain terbaik Sabah FC.
Kemalangan tragis itu kononnya berlaku dalam perjalanan ke satu perlawanan liga yang penting, membuatkan peminat dan komuniti bola sepak global terkejut dan tidak percaya.
Rafie berkata, setakat ini semua pemain dan pihak pengurusan Sabah FC berada dalam keadaan selamat dan tiada kejadian seperti yang dilaporkan portal terbabit berlaku.
“Orang ramai khususnya peminat sukan bola sepak di Sabah jangan mudah percaya terhadap laporan yang sengaja menimbulkan kekeliruan itu.
“Sabah FC masih meneruskan perancangannya menjalankan sesi latihan di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee,” katanya.