Berilah Bekalan Secukupnya Untuk Vaksin 2.7 Juta Penduduk Sabah – KM

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, berharap Kerajaan Persekutuan akan memberikan vaksin yang secukupnya untuk membolehkan 2.7 juta daripada penduduk Sabah divaksin.

“Sebenarnya kita mahu 2.7 juta daripada penduduk Sabah diberikan vaksin, jadi kita berharap Kerajaan Persekutuan akan beri (vaksin yang secukupnya),” katanya kepada pemberita selepas lawatannya ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Universiti Malaysia Sabah (UMS) sini pagi tadi.

Sabah sepatutnya menerima 2.2 juta dos vaksin pada bulan ini dan Ogos ,namun terdapat sedikit kelewatan penghantaran oleh pembekal kepada negara ini.

“Difahamkan ada sedikit kelewatan tetapi pihak Kementerian Kesihatan sudah mula menjadualkan balik penghantaran vaksin ini.

“Ini bukannya apa, tetapi daripada pembekal yang lambat sampai ke negara kita.

“Kita harap Kerajaan Persekutuan, Kementerian Kesihatan dapat memberikan bekalan yang diperlukan oleh Sabah dalam masa terdekat ini.

“Kerana kita mahu mencapai sekurang-kurangnya 50 ke 60 peratus rakyat kita di Sabah menerima vaksin yang diperlukan,” katanya.

Ditanya mengenai tawaran bahawa negeri-negeri boleh meminta bekalan vaksin lebih daripada Kerajaan Persekutuan, Hajiji berkata sememangnya Sabah mempunyai cadangan sedemikian “tetapi kita juga berharap pihak Kerajaan Persekutuan dapat membekalkan vaksin kepada Sabah dengan banyak.

“Sekarang ini, antara negeri yang terendah ialah Sabah. Jadi dari segi bekalan vaksin, kita tidak menerima banyak dari Kerajaan tetapi kita difahamkan mereka akan mula menghantar vaksin ke negeri ini dengan lebih banyak mulai minggu ini dan seterusnya.

“Jadi, dengan bekalan vaksin yang banyak ini kita akan dapat meningkatkan pemberian vaksin ini kepada orang ramai ataupun penduduk-penduduk kita di negeri Sabah. Insya-Allah,” katanya.

Mengenai lawatannya pagi itu, Hajiji mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada UMS, terutama sekali Naib Canselor Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin, kerana menyediakan kemudahan PPV bagi penuntut dan sekarang ini orang awam untuk menerima vaksin.

“Ini adalah sesuatu yang amat kita perlu kan kerana UMS sendiri sanggup bersama-sama membantu Kerajaan menangani permasalahan yang kita hadapi iaitu dengan mengadakan PPV bagi kawasan antaranya di Kota Kinabalu ini.

“Saya difahamkan, mereka boleh memberi vaksin kepada 1,000 orang sehari dan mula minggu hadapan mereka boleh memberikan vaksin sejumlah 3,000 orang,” katanya.

Semua tenaga kerja di PPV adalah kakitangan Fakulti Perubatan UMS, katanya, sambil menambah Ini adalah sesuatu yang cukup baik.

Menurut taklimat yang diberikan kepada Ketua Menteri, Fakulti Perubatan UMS juga akan pergi ke kampung-kampung untuk memberi vaksin kepada orang kampung tidak lama lagi. –Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *