KOTA KINABALU: Semua pihak digesa memberi sokongan bagi menjayakan Program Pembebasan Banduan Secara Berlesen.
Pengarah Penjara Negeri Sabah/ Wilayah Persekutuan Labuan, Nora Musa berkata sokongan dalam bentuk peluang pekerjaan dan tempat tinggal itu penting untuk menjana warga negara yang produktif.
“Ini sesuai dengan hasrat Jabatan Penjara untuk memperkasakan program pemulihan di luar tembok penjara dengan harapan masyarakat dan banduan dapat berasimilasi.
“Untuk itu, kita memperkenalkan Program Pembebasan Secara Lesen di mana banduan dikeluarkan lebih awal dari tembok penjara dan berasa dalam masyarakat dengan adanya pekerjaan.
“Kita amat berharap sokongan daripada organisasi, agensi-agensi untuk menyediakan peluang pekerjaan dan penempatan bagi banduan. Tanpa pekerjaan dan tempat tinggal, mereka tidak boleh keluar awal,” jelasnya.
Menurut Nora, program tersebut menggalakkan lebih ramai banduan warga negara Malaysia akan dibebaskan lebih awal berada dalam masyarakat dan menjadi warga negara yang produktif kepada negara.
“Harapan kita adalah apabila banduan dibebaskan secara berlesen, mereka diberi peluang pekerjaan untuk meneruskan kehidupan dan tidak kembali melakukan jenayah.
“Isu pada hari ini ialah kita tidak dapat mencari majikan yang sanggup menyediakan pekerjaan dan tempat tinggal untuk mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, program yang dilancarkan sejak November lepas menyasarkan seramai 400 banduan dilepaskan secara berlesen di Sabah dan setakat ini lebih 37 orang banduan berada di luar.
Beliau ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, pada Isnin.
Menurut Nora, kunjungan sejak lantikannya ke jawatan tersebut pada 1 Februari lalu, bertujuan untuk memaklumkan fungsi dan peranan jabatan itu dalam sistem keadilan negara, di samping memperkasa program pemulihan di luar tembok penjara kepada Tun Juhar.
“Kita juga memaklumkan situasi semasa Covid-19 di penjara serta perkembangan perubahan matlamat jabatan kepada pemulihan.
“Setakat hari ini, keadaan Covid-19 bagi penjara Sabah adalah terkawal tetapi kita sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dengan membenarkan hanya dua orang dalam setiap kali lawatan untuk memastikan ruang penjarakan fizikal dapat dilaksanakan,” dedah beliau.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut ialah isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M Jasni. – Nabalu News/Penerangan