Beri Sabah kutip cukainya sendiri sementara tunggu formula akhir 40% hasil negeri, kata Pandikar

Pandikar.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KENINGAU: Sabah sepatutnya dibenarkan mengutip cukai sendiri dan bukannya menunggu kata putus berhubung pemulangan 40 peratus hasil negeri daripada kerajaan persekutuan.

NST semalam melaporkan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata melalui sistem sebegitu, negeri akan mengutip hasil terlebih dahulu dan hanya memulangkan baki kepada kerajaan persekutuan.

“Isu berapa banyak peruntukan yang diberikan kepada kita tidak akan dibangkitkan lagi. Sementara menunggu pemulangan (40 peratus hasil negeri), kita kutip cukai itu di negeri ini dahulu,” katanya semasa Jelajah Wanita GRS di Keningau di sini.

Pandikar juga mengibaratkan peruntukan terkini RM6.6 bilion untuk Sabah sebagai kacang berbanding jumlah Bajet 2024.

Bulan lalu, Presiden United Progressive Kinabalu Organization (Upko) Datuk Ewon Benedick berkata formula 40 peratus perolehan itu akan dimuktamadkan menjelang Julai tahun depan.

Awal bulan ini, Menteri di jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelantikan wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai ahli lembaga dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan diperkukuh melalui perundangan.

Langkah sedemikian akan memastikan kedua-dua negeri mempunyai akses kepada maklumat kutipan hasil dan membuat tuntutan yang berkaitan.

Pandikar, yang merupakan bekas speaker Dewan Rakyat, menambah, daripada mempersendakan Sabah sebagai antara negeri termiskin, kerajaan pusat perlu menghulurkan bantuan kepada Sabah.

“Melaksanakan (pembinaan) Lebuhraya Pan Borneo. Kedua, menangani sekolah daif di pedalaman Sabah dan ketiga meningkatkan perkhidmatan Sabah Electricity Sdn Bhd dan air; serta 40 peratus (hasil negeri) seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia.

“Tolong Putrajaya… Perdana Menteri ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim), tiada lagi retorik dan janji, sila tunaikan.”

Awal tahun ini, Anwar telah berjanji untuk membasmi kemiskinan tegar dan menjanjikan RM320 juta pinjaman mudah untuk menangani masalah air di Sabah.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top