Beri Peluang Wanita Jadi ADUN Dilantik – UPKO

Mohina-UPKO.jpg

Mohina Ronnie Sidom

Kongsi Bersama

SANDAKAN: Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mencadangkan agar wanita diberi peluang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik.

Ketua Wanitanya, Mohina Ronnie Sidom, berkata kerajaan perlu mengambil kira peranan wanita secara menyeluruh dalam pembangunan negeri dengan menyediakan kuota kepada wanita dalam jawatan sebagai pembuat keputusan dasar.

Katanya, meskipun jumlah pembabitan wanita dalam beberapa sektor pekerjaan melebihi sasaran 30 peratus, namun masih kurang diberi peluang menjadi pembuat keputusan dasar.

“Dalam politik misalnya, kita lihat sayap pergerakan wanita begitu aktif. Daripada perkara kecil seperti menyediakan makanan hingga menjadi perayu undi dan peranan lain yang membawa kemenangan kepada parti.

“Boleh dikatakan, wanita menjadi tulang belakang kepada kempen pilihan raya, tetapi apabila soal jawatan dalam parti sama ada di peringkat kampung, daerah, Dewan Undangan Negeri (DUN) atau parlimen, wanita selalunya dipinggirkan,” katanya dalam kenyataannya di sini, baru-baru ini.

Mohina yang juga Ketua Bahagian UPKO Kinabatangan berkata, perlu lebih ramai wanita menjadi penggubal dasar di negara ini kerana banyak undang-undang atau dasar berkaitan wanita yang perlu diberi perhatian termasuk kewarganegaraan anak, akta gangguan seksual dan isu berkaitan domestik rumah tangga.

“Dalam pelan pembangunan di negeri kita, kerajaan bukan hanya perlu merangka program atau belanjawan untuk wanita, tetapi perlu melibatkan wanita dalam proses perangkaan belanjawan, perancangan program hingga pelaksanaannya.

“Kita mahukan penyertaan menyeluruh wanita demi memperkasa peranan wanita di negeri ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan golongan wanita di negeri ini agar menyokong wanita yang diangkat menjadi pemimpin.

“Cabaran utama yang biasa kita dengar apabila wanita menjadi pemimpin, ramai yang tidak percaya kebolehan wanita biarpun kelayakan mereka setara atau lebih daripada lelaki,” katanya. – Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top