Beri Peluang Pemimpin Muda PBS Menyinar, Kata Penganalisis

maximus.jpg

Dr Maximus... kekalahannya di Kota Marudu menjadi imbasan pada kekalahan Pairin di Keningau pada PRU14.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kegagalan Parti Bersatu Sabah (PBS) menyerlah pada PRU15 baru-baru ini menjejaskan statusnya sebagai antara parti berbilang kaum terpenting di Sabah, lapor FMT.

Malah menurut laporan itu, kegagalan presiden parti tempatan tertua di Sabah itu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memenangi buat ketujuh di Parlimen Kota Marudu, mengingatkan kekalahan dialami pengasas dan bekas presiden Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di Keningau pada 2018.

FMT memetik penganalisis politik, Dr Arnold Puyok, berkata meskipun kekalahan itu menyakitkan namun ia menjadi satu amaran untuk parti itu supaya menyusun semula hala tujunya jika ingin terus bersaing dalam kancah politik di Sabah.

“Maximus sepatutnya menjangkakan itu bakal berlaku. Agak malang beliau dan Pairin kehilangan kerusi masing-masing semasa mereka masih menerajui parti itu,” katanya kepada FMT.

“Tetapi ia memberi peluang kepada PBS untuk meremajakan parti. PBS mempunyai jenama. Ia mempunyai pandangan progresif dan cukup sesuai untuk masyarakat berbilang kaum di Sabah. Jika parti itu mahu terus hidup, ia tiada pilihan selain berubah mengikut keadaan semasa.”

Puyok berkata pemimpin PBS boleh melihat kembali visi parti itu untuk Sabah dan mencari perbezaannya dengan parti berbilang kaum lain seperti Warisan.

Tambahnya, pemimpin baharu dan muda dalam PBS mesti dibenarkan bersuara dengan lebih kerap serta terbuka mengenai isu semasa yang berkaitan dengan pengundi.

Lazimnya, hanya beberapa pemimpin PBS dibenarkan bercakap bagi pihak parti ketika menyatakan pendirian parti dalam isu.

“Selain itu, mereka perlu mendapatkan lebih ramai ahli daripada kumpulan etnik lain untuk benar-benar mencerminkan pandangan parti berbilang kaum,” katanya.

Ini kerana PBS masih dianggap parti didominasi masyarakat Kadazandusun Murut (KDM), walaupun pucuk pimpinan menyifatkannya parti berbilang kaum.

Puyok berkata jika PBS tidak berhati-hati dan gagal menjenamakan semula dirinya, ia dibimbangi bakal digantikan dengan parti berbilang kaum atau berasaskan KDM lain seperti Warisan, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Parti Cinta Sabah.

Kesemua parti itu mempunyai barisan kepimpinan yang lebih muda berbanding PBS.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Lee Kuok Tiung, berpendapat walaupun pemimpin muda mempunyai semua ramuan untuk berjaya pada masa depan namun mereka perlu diberi peluang untuk bercakap bagi pihak parti.

Lee berkata PBS mempunyai beberapa pemimpin muda dalam barisan mereka, tetapi rancangan peralihan parti itu masih kabur.

Menurutnya kebanyakan pemimpin parti berusia 50-an ke atas dan pemimpin muda PBS dilihat mempunyai peluang terhad untuk mempromosikan dirinya.

“Maximus boleh memainkan peranan lain dalam parti seperti yang dilakukan oleh pengasas parti Pairin selepas menamatkan penggalnya,” katanya.

“PBS perlu memberitahu orang ramai siapa pemimpin muda ini kerana itu cara mereka mendapat maklum balas daripada akar umbi, sama ada pemimpin baharu ini diterima penyokong mereka atau tidak.

“Tumpuan sentiasa diberikan kepada beberapa orang yang sama dalam PBS. Ini menimbulkan tanggapan bahawa parti itu hanya mempunyai beberapa pemimpin yang berwibawa, sedangkan mereka sebenarnya mempunyai ramai lagi seperti calon Kota Kinabalu, Yee Tsai Yiew yang berusia 32 tahun,” katanya.

Yee memperoleh 4,592 undi dalam pertandingan lima penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Warisan, KDN dan calon bebas. Kerusi itu dimenangi calon PH yang memperoleh 31,359 undi.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top