Beri Peluang Kerajaan Negeri Urus Peruntukan Belanjawan – SSK

SSK-4.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Mantan ketua menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Ketuak menggesa kerajaan pusat memberi kepercayaan dan tanggungjawab kepada kerajaan negeri untuk mengurus peruntukan belanjawan yang diberikan.

Beliau yang juga Adun Usukan mengulangi pandangannya bahawa dalam usaha untuk berdaya saing dengan negeri lain, Sabah perlukan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan.

Katanya, ia selari dengan konsep dan semangat persekutuan yang menyaksikan kerajaan negeri diberi kepercayaan untuk merealisasikan peruntukan yang bakal diberi.

“Dengan kata lain, kerajaan persekutuan menyerahkan dan desentralisasi kepada kerajaan negeri segala urusan perancangan pembangunan, proses tender dan juga pemantauan projek.

“Lebih penting sekarang adalah untuk kita memastikan keberkesanan pelaksanaan peruntukan ini.

“Ketua Menteri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa kerajaan negeri Sabah akan bekerjasama dengan rakan persekutuan lain untuk memastikan ia berjaya dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Salleh itu menyusul Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau antara lain, menyambut baik peruntukan diberikan kepada Sabah sebanyak RM5.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur, selain RM3.8 bilion untuk kesinambungan projek Pan Borneo serta pakej lain.

“Geran Khas Prihatin Tambahan berjumlah RM1,000 untuk peniaga, penjaja, pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan juga pemandu pelancong di Sabah, adalah antara peruntukan untuk Sabah yang saya alu-alukan.”

Katanya, negeri Sabah mendapat perhatian yang wajar dalam Belanjawan 2021, tetapi menegaskan kerjasama itu tidak boleh dipertikaikan lagi susulan peningkatan angka jangkitan baru Covid-19 semalam.

“Kerajaan mendengar keluhan rakyat Sabah yang berhadapan dengan ancaman Covid-19 yang paling teruk setakat ini.

“Sabah turut memikul tanggungjawab untuk memantau segala pelaksanaan dan keberkesanan projek untuk mengurangkan atau lebih baik, menghapuskan sebarang ketirisan,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top