Beri maklumat palsu mohon kad pengenalan, warga emas dipenjara 3 bulan, denda RM5,000

tukul-mahkamah.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi maklumat palsu ketika membuat permohonan kad pengenalan pada 2022.

Majistret Nur Faezah Jafry menjatuhkan hukuman itu ke atas Bakri Sakka, 70, dan memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini dan tambahan lima bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Bakri didakwa mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendaftarkan kad pengenalan seorang lelaki bukan anak kandungnya dan bukan warganegara.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat Tingkat 1, Wisma Persekutuan Sandakan pada 4.39 petang 20 Sept 2022 mengikut Peraturan 25 (1) (b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bakri, yang diwakili peguam Mohd Nazri Zikiri, merayu supaya dikenakan hukuman ringan berbentuk denda berikutan faktor usianya.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa JPN Sabah Mohd Naser Mohd Nadzeri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pencegahan kerana kes itu merupakan isu serius dan sensitif serta melibatkan kedaulatan negara.

“Sekiranya penyamar berjaya memperolehi kad pengenalan tersebut, penyamar akan mendapat segala kemudahan dan kelebihan sebagai warganegara sedangkan penyamar tidak layak,” katanya.

Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, seorang pemegang dokumen IMM13 dijatuhi hukuman 12 bulan penjara bermula hari ini dan denda RM7,500 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut, kerana memberi maklumat palsu kepada JPN.

Majistret Mohammad Azeem Mohd Ridzo menjatuhkan hukuman itu ke atas Hasanuddin Sande, 38, dan memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen setelah selesai hukuman penjara.

Hasanuddin yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah memberikan maklumat palsu kepada JPN bagi mendaftarkan kad pengenalan sebagai pemohon menggunakan daftar kelahiran bukan kepunyaannya di Bilik Mesyuarat Tingkat 1, Wisma Persekutuan Sandakan pada waktu dan tarikh sama. – BERNAMA

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top