KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sentiasa komited dalam memastikan perkhidmatan dan penyampaian rawatan berada dalam tahap terbaik terutamanya usaha untuk menyelamatkan nyawa.
Justeru, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata, jabatan ini memohon kerjasama kepada semua pemanggil dan orang awam agar memberikan maklumat yang lengkap semasa membuat panggilan kecemasan agar pihak responder di hospital-hospital di Sabah dapat bertindak dengan kadar yang munasabah.
Beliau berkata demikian sebagai maklumbalas kepada isu kelewatan ambulans yang dibangkitkan di laman akhbar Daily Express pada 05 Mei 2022 bertajuk ‘MAN DIES DUE TO CARDIAC ISSUES IN CRASH’.
“Untuk makluman, jabatan ini telah membuat siasatan dengan meneliti data masa sebenar (realtime) di pangkalan data Malaysia Emergency Response Services 999 (MERS 999).
“Hasil penelitian data berkenaan mendapati bahawa MERS 999 telah menerima panggilan telefon pada masa 12.06 tengah hari dari seorang pemanggil, namun talian telah terputus semasa proses penyambungan dari MERS 999 Regional Center (Regional Center) ke Medical Emergency Call Center Hospital Queen Elizabeth (MECC) untuk proses verifikasi kes dan mendapat maklumat lanjut.
“Sebanyak enam cubaan panggilan semula kepada pemanggil dibuat oleh Regional Center dan MECC dari 12:07 hingga 12.19 tengah hari tetapi pemanggil tidak dapat dihubungi semula menyebabkan ambulans tidak dapat diaktifkan disebabkan maklumat lokasi yang tidak jelas.
“Pada jam 1.01 tengah hari, MERS 999 menerima panggilan kedua daripada pemanggil lain dengan maklumat lengkap telah diperolehi.
“Team responder dari Hosital Queen Elizabeth Il telah diaktifkan pada jam 1.04 petang dan telah tiba di tempat kejadian pada jam 1.16 petang,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Dr. Rose Nani berkata, semasa tiba di tempat kejadian, team responder mendapati pesakit berusia 54 tahun tidak mempunyai tanda-tanda hidup dan pengesahan kematian telah dibuat oleh pegawai perubatan.