KOTA KINABALU: Seramai 73 wakil rakyat di Sabah perlu diberi lebih masa untuk berucap pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Presiden Parti Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat ahli jawatankuasa parti pada Sabtu, ketua pembangkang Sabah itu berkata jika parlimen yang mempunyai 222 ahli boleh bersidang selama tiga bulan untuk membolehkan penggubal undang-undang membawa isu dari kawasan mereka, ia juga harus dipraktikkan di peringkat negeri.
“Dengan 73 wakil rakyat di Sabah, saya pasti banyak isu yang perlu dibangkitkan, bukan sahaja pengangguran, banjir dan kemudahan asas, malah jalan raya. Banyak jalan raya dan infrastruktur asas lain telah rosak teruk. Lihat sahaja jalan raya dari Kota Kinabalu ke Tawau. Rosak teruk.
“Kita mahu wakil rakyat mempunyai ruang untuk bercakap. Terdapat banyak undang-undang yang perlu disemak dan diperbaiki. Kita perlu membahaskannya,” katanya.
Menurut Shafie, ADUN di Sabah ketika ini diberi masa kira-kira lima minit untuk berucap, manakala di parlimen Ahli Parlimen diberi masa kira-kira 15 hingga 20 minit. Ketua pembangkang di parlimen diberi masa sejam untuk bercakap, ketua pembangkang Sabah hanya diberi 20 minit.