Berhentilah Bermimpi Bentuk Kerajaan Dengan SD Ahli Parlimen, Kata Pemimpin UMNO Kepada Anwar

razlan.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin UMNO menasihati Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti bermimpi untuk mendapatkan sokongan Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baru.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata demikian selepas Anwar dilihat beberapa kali gagal menunjukkan sokongan majoriti yang didakwa diperolehinya di Dewan Rakyat.

Terbaharu beliau dilihat gagal menolak Belanjawan 2021 kerajaan yang diluluskan dengan sokongan 111 Ahli Parlimen, berbanding 108 menolak.

“Cara paling mudah untuk Anwar dapat sokongan ialah melalui sidang Parlimen dan terbukti Perdana Menteri (Tan Sri) Muhyiddin Yassin mendapat majoriti mudah 111 undi pada minggu terakhir Belanjawan 2021 dibentangkan.

“Saya percaya Anwar tidak ada gelangang lain untuk menunjukan beliau mendapat sokongan Ahli Parlimen selain di Dewan Rakyat.

“Mimpi ini (Anwar menjadi perdana menteri) kita tahu tidak akan jadi kenyataan,” katanya kepada FMT.

Razlan berkata, usaha Anwar kini bertambah sukar apabila tiada Ahli Parlimen kerajaan yang marah terhadap pentadbiran Perikatan Nasiohal (PN) pimpinan Muhyiddin.

“Mereka akan sokong PN sampai akhir penggal,” katanya.

Beliau berkata, pembangkang sendiri berpecah apabila pencalonan Anwar sebagai perdana menteri tidak diterima, terutamanya oleh kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Warisan.

Razlan sebaliknya menasihati Pakatan Harapan (PH) supaya menjadi “check and balance” kepada kerajaan sebagaimana Barisan Nasional (BN) sebelum ini, sekali gus berhenti bermain politik.

“Sepatutnya PH memainkan peranan itu yang lebih penting daripada terus bermain politik semata-mata untuk mendapatkan sokongan Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam bahawa beliau percaya Anwar masih mampu mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk membentuk kerajaan baharu.

Katanya, perkara itu boleh dilakukan sama ada melalui Akuan Bersumpah (SD) atau melalui Dewan Rakyat.

Bercakap kepada akhbar Sinar Harian Saifuddin berkata, usaha menjatuhkan kerajaan PN akan terus dilakukan, sama ada di dalam atau di luar Dewan Rakyat

“Prosesnya boleh dibuat di dalam dan luar Parlimen. Jika satu tewas (undi belanjawan), satu lagi masih berjalan (akuan bersumpah),” katanya.

Dalam pada itu Saifuddin enggan mendedahkan jumlah SD yang diperolehi Anwar menerusi gerakan di luar Dewan Rakyat. -FMT

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top