KOTA KINABALU: Seruan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil kepada kepimpinan parti supaya berhenti menyuruh ahli mengundi DAP pada PRN akan datang, menerima sokongan daripada beberapa pemimpin UMNO.
Menurut FMT, antara yang menyokong pandangan Isham itu ialah Pengerusi Tetap Pemuda Umno, Wan Agyl Wan Hassan yang berkata tindakan ahli MKT, Datuk Seri Ahmad Maslan, meminta ahli menyokong calon DAP “tidak boleh diterima”.
Ini kerana Umno dan DAP menjadi musuh politik sejak sekian lama, maka semua perasaan itu masih belum terawat sepenuhnya.
“Meminta akar umbi Umno mengundi calon DAP adalah sesuatu yang akar umbi tidak boleh terima. Walaupun pengurusan tertinggi parti memutuskan bahawa kita bekerjasama dengan Pakatan Harapan, ia haruslah demi negara. Ini tidak bermakna Umno perlu korbankan prinsip.
“Kenapa Ahmad tidak minta kita undi calon-calon kerajaan perpaduan? Mesejnya harus tepat. Siapa minta dia beritahu kita untuk undi DAP?” katanya kepada FMT.
Sementara itu, menurut FMT lagi, seorang ketua Umno bahagian yang minta tidak dinamakan berkata akar umbi menerima pembentukan kerajaan perpaduan bersama PH kerana memenuhi kehendak Yang di-Pertuan Agong.
“Bagaimanapun, ramai ahli belum terima idea kerjasama pada PRN akan datang,” katanya, dan memberi amaran bahawa akan ada ahli meninggalkan Umno jika pemimpin-pemimpin lain juga mengulangi permintaan itu.
“Awak kena faham bahawa ahli kini terbahagi kepada dua kem. Jadi kalau kepimpinan tertinggi buat kenyataan seperti itu, lagi ramai akan pergi ke kem ‘anti-Zahid’,” katanya, merujuk kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu, seorang ahli MKT yang minta tidak dinamakan berkata komen Isham itu munasabah memandangkan ada jurang antara kepimpinan tertinggi Umno dan akar umbi, selain puak-puak dalam parti.
“Kepimpinan buat kenyataan yang tidak sedap didengar akar umbi dan tak boleh lah berterusan begini. Kita perlu ada kesefahaman dan berpegang pada prinsip kerana, jika tidak, situasi Umno pada pilihan raya akan datang akan bertambah teruk,” katanya.
Umno dan DAP yang berseteru sekian lama kini bekerjasama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad meminta ahli Umno lihat calon DAP pada PRN akan datang sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan atas nama parti sahaja.
Isham kemudian memberi amaran bahawa sokongan kepada Umno akan terhakis jika pemimpinnya terus mendesak ahli mengundi calon DAP pada pilihan raya.