KOTA KINABALU: Semua pihak terutama pemimpin diminta berhenti bermain politik selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sah membentuk kerajaan negeri berikutan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sekarang adalah masa untuk menumpukan usaha menyelesaikan masalah rakyat dan negeri.
Katanya, GRS komited untuk menyegerakan usaha memulihkan Sabah dan memberi perhatian kepada agenda membantu rakyat selepas berjaya mengambil alih kerajaan daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN).
“Selesai sahaja Ketua Menteri yang baharu angkat sumpah, kita akan memulakan langkah kita untuk memastikan rakyat mendapat perhatian daripada kerajaan.
“Kita tidak mahu lagi bermain politik kerana mesti menumpukan perkara penting memikirkan masalah negeri Sabah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah mengulas sokongan sebulat suara terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang dinamakan sebagai Ketua Menteri baharu.
Bung Moktar berkata, GRS bersetuju menyokong Hajiji mengetuai kerajaan baharu Sabah bagi memulihkan negeri ini selepas kira-kira dua tahun di bawah kerajaan WARISAN.
“Kami membuat persetujuan atas dasar kesedaran dan keyakinan bahawa kerajaan baharu yang ditubuhkan itu mampu memulihkan semangat rakyat Sabah yang selama ini hilang disebabkan oleh pemerintahan kerajaan yang tidak prihatin kepada rakyat.
“Ia tanggungjawab yang besar kepada negeri ini tetapi dengan kerjasama semua pihak kita yakin dapat melaksanakannya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata pihaknya menyokong siapa saja yang dilantik oleh GRS sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Kita tiada masalah untuk menyokong siapa saja yang dipilih untuk menjadi Ketua Menteri kerana yang penting kita sudah berjaya membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Sokongan sama turut disuarakan pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) selain menafikan yang parti itu mahu bekerjasama dengan WARISAN selepas khabar angin mengenainya tersebar sejak semalam.
Pemilihan Hajiji sebagai Ketua Menteri dimaklumkan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu selepas mengadakan pertemuan tertutup GRS hari ini.
Semua ADUN GRS dijangka hadir pada majlis angkat sumpah Ketua Menteri di Istana Negeri yang dijadualkan pada jam 10.30 pagi esok. – HMetro