KOTA KINABALU: Setiausaha DAP Sabah Phoong Jin Zhe menggesa Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal supaya berhenti bersikap hipokrit.
“Sebagai respons kepada kenyataan Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, saya mendapati adalah amat tidak adil untuk menuduh DAP sebagai angkuh kerana (mahu) mempertahankan kerusi yang kita menangi pada PRU14 (PRU14), iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom.
“Sebaliknya, beliaulah yang berkali-kali menolak idea ‘khemah besar’ malah mengatakan PH (Pakatan Harapan) Plus sudah tiada di Sabah, siapa yang ego dan angkuh sekarang?
“Kami telah berusaha berunding beberapa kali dan saya secara terbuka berikrar untuk memulakan kerjasama antara kedua-dua pihak bagi memenuhi aspirasi rakyat, tetapi Shafie mengatakan bahawa ia adalah bersifat sehala, (sedangkan) dialah yang menolak peluang untuk berbincang secara terhormat,” kata Phoong.
Phoong yang juga ADUN Luyang mengingatkan sebarang kerjasama mestilah berlandaskan sikap saling menghormati, prinsip dan nilai bersama.
“Kami memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi dan sebulat suara kepada Warisan di bawah kepimpinan Shafie terutamanya semasa pilihan raya Sabah 2020 dan sehingga hari ini, kami tidak pernah cuba menuntut mana-mana kerusi yang dimenangi oleh Warisan pada 2018 atau 2020 tetapi sebaliknya, Warisan bertanding di tiga kerusi penyandang DAP. di Johor dan sebelum ini, seorang ahli majlis tertinggi Warisan telah mengumumkan secara terbuka bahawa mereka akan bertanding di ketiga-tiga kerusi di Sandakan. Jelas siapa yang sombong sekarang.
“Hentikan menjadikan DAP atau UPKO atau PH sebagai kambing hitam atas kepincangan anda sendiri selepas gagal mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, apabila DAP terus menarik blok pembangkang untuk bersama-sama menghentikan kemunculan semula hegemoni Barisan Nasional dan Umno, Shafie dan Warisan telah memutuskan untuk bergerak secara solo dan berlawan dengan semua orang terutamanya dalam pilihan raya Johor.
“Pada 4 Jun lalu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata pintu kerjasama masih terbuka tetapi Shafie memberitahu akhbar bahawa Warisan akan menumpukan usaha untuk mengukuhkan diri dan tidak bekerjasama dengan blok PH dan pembangkang.
“Ia adalah hipokrasi tahap tertinggi kerana semalam Warisan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) sejurus selepas mengisytiharkan bahawa ia tidak akan membentuk sebarang gabungan dua hari sebelumnya,” kata beliau.