Bercakap, Bercerita Lucah Di Tempat Awam Boleh Didakwa

ACP-SITI-KAMSIAH_8.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Jangan bercerita lucah di tempat awam kerana anda boleh didakwa di bawah Seksyen 294 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Memberitahu kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan (gambar) memberitahu, orang ramai tidak boleh sewenang-sewenangnya bercakap atau melakukan perbuatan lucah sehingga boleh mendatangkan kegusaran terhadap orang lain.

Beliau berkata, kesalahan itu termasuk melalui lagu lucah atau perbuatan seperti mencerita, menyanyi atau menyebut apa-apa lagu atau cerita serta perkataan-perkataan lucah di tempat awam.

“Ini juga termasuk di televisyen, radio atau mana-mana medium yang boleh dianggap menyalahgunakan kemudahan rangkaian sehingga menyebabkan kegusaran terhadap orang lain.

“Itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Mengenai jenayah melibatkan lawak lucah, Siti Kamsiah berkata, dalam masa terdekat tiada sebarang kes berkaitan namun ia juga bergantung kepada penerimaan individu itu sendiri kerana kebiasaannya lawak lucah ini dibuat dalam percakapan yang mempunyai ‘double meaning’.

Bagaimanapun, beliau percaya setiap produksi mempunyai garis panduan yang ditetapkan.

Ujar beliau, selain itu, pihaknya boleh menyiasat mana-mana individu yang didapati menunjukkan, menjual, mengedar atau mengiklankan gambar, lukisan atau apa-apa jenis bahan lucah di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

“Di bawah peruntukan itu, individu terbabit jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Setakat ini, sebanyak 209 kes disiasat pihaknya berkaitan dengan penyebaran bahan lucah daripada 2018 sehingga Ogos lalu,” ujarnya. – Utusan


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top