Bentuk Gabungan Parti Tempatan Hadapi PRU-15 – Chin

chin-su-phin-LDP.jpg

Datuk Chin Su Phin

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin mengulangi seruan beliau agar semua parti politik tempatan harus bergabung bagi membentuk kerjasama kukuh.

Katanya, semua pemimpin parti tempatan harus mengetepikan perbezaan mereka dan bersatu untuk membentuk sebuah parti yang kuat seperti Sarawak. Usaha itu sudah pasti akan mewujudkan satu kuasa hebat untuk mengubah landskap politik Malaysia.

“Kesatuan dalam kalangan parti tempatan akan membolehkan kita mengejar lebih banyak manfaat kepada rakyat Malaysia Timur khususnya di Sabah.

“Keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak bukti bahawa rakyat mereka mahukan parti tempatan untuk menerajui pemerintahan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau percaya Sabah boleh mencontohi Sarawak dalam usaha membentuk gabungan parti tempatan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, rakyat Sabah dan Sarawak kini sudah bosan dengan budaya politik parti semenanjung Malaysia yang mana sangat bersifat perkauman dan perbalahan politik.

Menurutnya, rakyat Sabah juga kecewa dengan pelbagai keputusan kerajaan persekutuan seperti pengagihan bajet yang tidak adil, kelewatan menyiapkan projek Pan Borneo, hadkan penjualan arak di premis perniagaan, buku teks sejarah yang bersifat berat sebelah perkauman yang mana semua perkara itu akan menjejaskan keharmonian masyarakat di Malaysia.

Chin berkata, rakyat Sabah dan Sarawak sudah hidup bersama secara aman berdekad lamanya tanpa mengira kaum serta agama.

“Kita juga tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak pelampau yang cuba ingin menghancurkan keharmonian negeri ini,” katanya.

Sebelum itu, beliau juga telah mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tertinggi LDP 2021-2024 pada Ahad lalu.

Katanya, lebih daripada 90 peratus jawatan Majlis Tertinggi LDP telah diisi oleh pemimpin muda, selaras dengan sasaran parti untuk meremajakan LDP.

Beliau berkata, usaha itu sekali gus akan menguatkan lagi parti berkenaan selain dapat menarik minat golongan muda menyertai LDP.

Majlis Tertinggi LDP juga melantik bekas Presiden Parti Datuk Seri Panglima Teo Chee Kang sebagai Presiden Kehormat.

Tan Sri Lau Ngan Siew, Datuk Lau Yick Chiang, Datuk Elbert Lim Yu Min, Datuk Lai Vai Ming, Datuk John Su Haw Tieng, Datin Wong Ing Huong @Mary Su, Datuk Ho Jia Lit @Charlie, Datuk Albert Ngan Yun Kiang, Fong Keng Sin dan Goh Chit Yong turut dilantik sebagai Penasihat Kehormat parti.

 

Berita asal: Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top