Bentuk 2 Pakatan Berbeza Tak Jadi Masalah Pada Bersatu Di Sabah

kiandee.jpg

Dr Rpnald Kiandee

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tidak timbul isu kerumitan berhubung kedudukan Bersatu di Sabah membabitkan gabungan yang dibentuk antara Perikatan Nasional (PN) di Semenanjung dan Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) di negeri itu.

Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Bersatu di Sabah tidak sama seperti di peringkat nasional selepas membentuk kerajaan negeri GRS-Barisan Nasional (BN).

Katanya, walaupun Bersatu merupakan parti utama yang membentuk PN di peringkat nasional, namun beberapa parti daripada gabungan itu di Sabah kini menubuhkan GRS.

“Memang Bersatu sebahagian daripada PN di peringkat nasional tetap di peringkat negeri, gabungan baharu ialah GRS dan ketua menteri adalah daripada Bersatu. Jadi di sini kita adalah GRS, ia tidak rumit dan jangan menjadikan perkara ini rumit.

“GRS merupakan gabungan parti yang baharu dan kerajaan sekarang adalah kerajaan GRS-BN. Kita harapkan parti yang menyokong aspirasi GRS akan menyertai gabungan ini seterusnya membentuk sebuah gabungan baharu di Sabah.

“Saya yakin rakyat Sabah menerima secara positif gabungan baharu yang sedang dibentuk oleh kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini semalam.

Ketika ditanya sama ada berlaku rundingan antara GRS dengan PAS yang menyatakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Sabah, Ronald yang juga menteri pertanian dan industri makanan berkata, rundingan mengenai kerusi masih lagi berjalan.

“Saya tidak tahu (rundingan dengan PAS) tapi pada PRN (pilihan raya negeri) lalu mereka tidak bertanding. Perbincangan mengenai kerusi masih berjalan di peringkat PN dan GRS tapi saya tidak terlibat dengan perbincangan di peringkat negeri,” katanya.

Sementara itu, Ronald turut menafikan spekulasi mengatakan penyertaan Usno dalam GRS adalah sebagai platform untuk pemimpin Bersatu di Sabah beralih arah.

“Saya tidak rasa begitu, saya ada terbaca kenyataan yang beberapa lagi parti akan dipertimbangkan (menyertai GRS) dalam masa akan datang, bukan hanya Usno,” katanya.

GRS yang didaftarkan secara rasmi terdiri daripada Bersatu, STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Usno.

Bersatu, STAR, SAPP dan PAS juga merupakan anggota rasmi PN namun PAS “dipinggirkan” daripada GRS.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top