KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diminta mempertimbangkan semula sistem kupon untuk membayar kompaun letak kereta sebagai alternatif kepada sistem baharu denda mandatori RM10 bagi mereka yang meletakkan kenderaan melebihi masa.
Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Api-Api, Yee Tsai Yiew berkata, kaedah pembayaran kompaun RM10 bagi kesalahan tersebut adalah tidak adil dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemandu.
“Sebagai penduduk Kota Kinabalu, saya percaya pendapat saya mewakili ramai individu yang terjejas. Pertamanya, saya ingin jelaskan bahawa saya menyokong usaha memperbaiki keadaan tempat letak kereta dan memastikan keselamatan penduduk bandar raya ini. Bagaimanapun, saya tidak boleh berdiam diri apabila isu yang menjejaskan kepentingan masyarakat umum timbul,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Memahami sepenuhnya usaha DBKK untuk menangani masalah tempat letak kereta, Yiew bagaimanapun menegaskan bahawa denda bukanlah penyelesaian terbaik kepada masalah itu.
Jelasnya, pemandu kenderaan sepatutnya dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perubahan yang ingin dilakukan, dan adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan untuk menyampaikan perubahan ini dengan jelas.
“Sebarang perubahan mendadak sudah pasti akan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap PBT.
“Saya berharap pihak DBKK mempertimbangkan cadangan mengembalikan semula amalan lama yang membenarkan pemandu membeli kupon letak kereta bagi menggantikan denda mandatori RM10. Sistem ini lebih praktikal dan meringankan beban rakyat,” ujar beliau.
Beliau menegaskan bahawa peranan pihak berkuasa tempatan adalah untuk mewujudkan keadaan hidup yang lebih baik untuk masyarakat umum, bukan untuk menambah beban mereka.
Yiew juga percaya bahawa DBKK harus lebih interaktif dengan masyarakat untuk mewujudkan persekitaran tempat letak kereta yang lebih selesa dan praktikal di sini.
“Saya difahamkan pelaksanaan sistem tempat letak kereta digital mengambil masa. Namun, dalam tempoh ini, kepentingan rakyat perlu diambil kira terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang dan amalan yang mencetuskan kebimbangan orang ramai harus dielakkan,” katanya.
Yiew mendakwa baru-baru ini ramai warga kota menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap DBKK kerana keputusannya tidak membenarkan pembelian kupon letak kereta bagi menggantikan denda sebaliknya menguatkuasakan denda mandatori RM10 kerana melebihi had masa menyebabkan ramai yang terjejas. – Warta Oriental