Benarkah UPKO berada di persimpangan?

ewon-n-musli.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Benarkah UPKO, salah satu parti komponen Pakatan Harapan (PH) berada di persimpangan?

Jika kenyataan presiden UPKO Datuk Ewon Benedick yang sedia berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor agar parti itu diberi laluan bertanding kerusi DUN Limbahau pada pilihan raya akan datang (PRN) diambil perkiraan, UPKO berkemungkinan terpaksa menerima hakikat hanya dapat bertanding di “beberapa” kerusi DUN.

Ramai pemerhati politik berpendapat, bukan mudah bagi UPKO mendapatkan lampu hijau untuk meletakkan calon di DUN Limbahau pada PRN akan datang jika PH memutuskan bekerjasama dengan GRS untuk bertarung bersama menentang kumpulan pembangkang peringkat negeri iaitu Warisan, BN dan KDM.

Menurut mereka, keputusan sama ada UPKO boleh bertanding kerusi DUN Limbahau pastinya dibuat di meja bulat melalui “perundingan” dengan rakan-rakan parti lain yang menganggotai GRS.

Persoalannya adakah penyandang Adun Limbahau Datuk Juil Nuatim yang dikatakan “berpengaruh” di kawasan itu sedia melepaskan kerusi itu kepada UPKO pada PRN akan datang.

PPM Limbahau yang juga naib presiden PBS Datuk Johny Mositun turut mengintai kerusi DUN itu.

Menurut penulis buku dan penganalisis politik tempatan Musli Oli, keadaan ini mungkin akan meletakkan UPKO dalam dilema.

“Saya meramalkan peluang UPKO bertanding kerusi Limbahau 50-50 dengan mengambil kira sokongan akar umbi Datuk Juil yang dikatakan masih utuh.

“Bagaimanapun, politik Sabah amat dinamik dan sukar diramal. Hari ini kawan esok jadi lawan,” katanya kepada Jesselton Times.

Musli turut meramalkan UPKO dan PH pasti akan diberi peluang mempertahankan tujuh kerusi DUN yang dimenangi pada PRN 2020 sekiranya PH memilih bersama GRS mengharungi cabaran PRN akan datang.

Pada PRN yang lepas, UPKO hanya berjaya memenangi kerusi DUN Kadamaian menerusi pemimpin muda berkarisma Datuk Ewon Benedick.

“Dalam PRN akan datang, selain Kadamaian dan Limbahau, saya melihat UPKO boleh bersaing untuk mendapatkan kerusi DUN Bandau yang kini diwakili Datuk Wetrom Bahada, DUN Moyog (penyandang Datuk Darel Leiking), Melalap (penyandang Datuk Peter Anthony) dan beberapa kerusi yang kini diwakili bebas.

“Ini bermakna jumlah kerusi yang UPKO bakal perolehi amat terhad dan mungkin tidak sampai 5 kerusi kerana terpaksa bersaing dengan Adun penyandang khususnya PBS dan STAR di kawasan yang majoriti pengundi Kadazandusun Murut,” katanya.

Menurut Musli, sekiranya UPKO atau PH memilih bertanding secara “bersendirian atau solo” dalam PRN akan datang, parti itu boleh menentukan sendiri jumlah kerusi yang ingin ditandingi.

“Tidak harianlah nanti, ada penyokong-penyokong UPKO/PH yang mendesak PH bertanding secara solo terlebih dahulu dan bergabung dengan parti-parti lain yang mempunyai kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Ini merupakan ujian getir bagi Datuk Ewon Benedick yang bakal mengemudi bahtera UPKO dalam mengharungi gelombang politik Sabah, khususnya PRN akan datang, katanya.

Musli berkata senario ini menggambarkan keunikan politik “aramati” Sabah yang penuh warna warni dan drama.

Apa pun apa yang pasti “budaya buhangkot atau katak” kini hanya tinggal kenangan dengan lulusnya Undang-Undang Anti Lompat di DUN Sabah baru-baru ini.  – Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top