Beluran Dijadikan Lokasi Pengumpulan al-Quran Lama

beluran-quran.jpg
Kongsi Bersama

BELURAN: Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Samad Jambri, berhasrat menjadikan daerah Beluran sebagai lokasi kedua bagi Pusat Pengumpulan al-Quran lama di negeri ini.

Ketika ini, beliau berkata, pusat berkenaan hanya terdapat di Kota Kinabalu dan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

“Ini juga akan menjimatkan dari segi masa selain menjadikan daerah ini sebagai salah satu rujukan berkenaan pelupusan naskah lama al-Quran kepada daerah berdekatan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Pengumpulan Al-Quran Lama Al-Baghdadi dan Al-Imla’ie Peringkat Daerah Beluran di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Beluran, kelmarin.

Majlis berkenaan dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Pejabat ADUN Labuk, USIA Beluran dan Badan Dakwah Daerah Beluran.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Beluran Rahmin Arman, Ketua Daerah Beluran Amat Saruna, wakil Pegawai Daerah Beluran dan Pejabat Parlimen Beluran.

Samad berkata, sebanyak 1,000 akan dikumpul dan pihaknya akan menggantikan ia dengan naskah yang baharu.

“Selepas dikumpul, naskah berkenaan akan dihantar ke JHEAINS Kota Kinabalu bagi proses pelupusan,” katanya.

Beliau merakam penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan proses pengumpulan naskah lama al-Quran daerah Beluran.

Dalam pada itu, Samad menasihatkan orang ramai terutamanya masyarakat Islam agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik ini apatah lagi menjelang Ramadan.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Beluran Rahmin Arman berkata, program pengumpulan naskah lama al-Quran ini juga merupakan cetusan idea Samad yang memanjangkan hal ini kepada pihak JHEAINS yang menelitinya.

“Untuk fasa pertama proses pengumpulan ini, ia akan dilaksanakan selama dua minggu melibatkan kira-kira 60 surau dan masjid di Beluran,” katanya.

Manakala bagi fasa kedua, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Beluran untuk mendapatkan naskah lama di surau-surau sekolah di daerah ini. Dianggarkan 2,000 naskah akan dikumpul dalam fasa ini.

“Dalam masa sama, JHEAINS Beluran juga mengalu-alukan orang awam termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak untuk menghantar naskah lama al-Quran masing-masing ke pejabat JHEAINS Beluran dengan mengisi borang penghantaran berkenaan,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top