Belum masanya laksana e-invois di Sabah – Junz Wong

Junz.jpg

Datuk Junz Wong

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Putrajaya harus mempertimbangkan semula untuk melaksanakan sistem e-invois di Sabah kerana banyak bahagian di negeri ini kekurangan sambungan Internet dan kemajuan teknologi, kata Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Junz Wong.

Beliau berkata pelaksanaan sistem itu di negeri ini hanya akan membebankan rakyat biasa, yang mempunyai cabaran dan berdepan keadaan yang berbeza berbanding di Semenanjung.

Katanya, adalah tidak adil untuk melaksanakan sistem dengan menganggap kemajuan teknologi di semua wilayah adalah sama rata kerana Sabah berada sekurang-kurangnya 15 hingga 20 tahun di belakang Semenanjung dari segi kemajuan.

ADUN Tanjung Aru, yang juga bekas menteri kabinet negeri berkata demikian dalam satu kenyataan yang dipetik oleh The Star.

Beliau berkata terdapat sebilangan besar pengusaha perniagaan kecil di Sabah, khususnya penduduk luar bandar dan warga emas, yang bukan sahaja tidak biasa, tetapi juga kekurangan akses kepada sokongan teknikal yang diperlukan.

Menurut Wong, daripada interaksinya dengan vendor tempatan, ramai yang tidak dapat menggunakan ciri asas pada telefon pintar, apatah lagi menguruskan sistem e-invois.

“Mengapa perlu mengenakan sistem yang menambahkan kerumitan dan kos kepada pengendali perniagaan kecil, yang hampir tidak mampu?,” tanya beliau sambil menegaskan belum masanya sistem itu dilaksanakan di Sabah.

Sebaliknya, tegas beliau, keutamaan harus diberi pada soal membasmi kemiskinan tegar di wilayah ini.

Untuk rekod, semua perniagaan di negara ini dikehendaki beralih kepada sistem e-invois menjelang Julai tahun depan.

Menjelang pelancaran penuhnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri akan melancarkan perisian percuma untuk membantu perniagaan, besar dan kecil, memudahkan ke dalam sistem.

Wong turut menggesa kerajaan Sabah bersuara membantah pelaksanaan e-invois di negeri ini.

“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah mesti menolak dasar e-invois ini yang gagal mengambil kira konteks tempatan dan meletakkan perniagaan kecil ke dalam keadaan yang lebih sukar,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top