PITAS: Walaupun belum mengangkat sumpah jawatan, Adun Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah telah mula aktif turun padang bagi melaksanakan amanah yang dipikulnya selaku wakil rakyat.
Beliau memenangi kerusi N. 3 itu pada PRN Sabah baru-baru ini dengan majoriti 559 undi bertanding atas tiket Bebas.
Pada Jumaat lepas, Ruddy telah berjumpa dengan Pegawai Daerah Pitas untuk beberapa perbincangan yang merujuk kepada pembangunan Pitas, selain mengunjungi ketua-ketua di daerah itu unruk mendapatkan laporan perancangan untuk diselaraskan dengan perancangan beliau sebagai wakil rakyat.
Pada hari yang sama Ruddy bersama Pegawai Kebajikan Pitas melawat rumah mangsa yang roboh di Kampung Sebaung dan seterusnya menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa.
Pada hari Sabtunya pula, Ruddy dijemput menyantuni dua majlis perkahwinan di Kg. Gudang Limau dan Kg. Gailun Darat seterusnya melawat seorang mangsa kemalangan jalan raya yang patah kaki setahun lalu dan memberikan sumbangan peribadi.
Pada petangnya pula, Ruddy menyantuni rakyat di rumahnya di Kg. Salimpodon Laut, Pitas untuk mendengar keluhan dan permasalahan mereka.
Pada kesempatan itu, Ruddy sempat memberikan sumbangan sebuah tangki dan paip untuk kegunaan gereja di Kg. Bilangau Darat, Pitas.
Aktiviti wakil rakyat Pitas yang dimuatnaik di laman rasmi Ruddy Awah mendapat respon yang sangat memberangsangkan serta sukaan dan perkongsian yang banyak. Berita asal Buletin Sabah