TUARAN: Golongan belia harus memainkan peranan mereka dengan menderma darah bagi membantu menambah bekalan di Hospital Queen Elizabeth yang berada pada tahap kritikal, kata Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kiulu, Janih Bangud.
“Darah amat penting untuk membantu pesakit menjalani pembedahan, rawatan kanser, penyakit kronik dan kecederaan traumatik,” katanya pada kempen menderma darah di Pekan Tamparuli dekat sini.
Kempen tersebut dianjurkan oleh Gereja SDA Tamparuli bersama Jabatan Kesihatan Tuaran, Hospital Queen Elizabeth dan PPBM.
Janih yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata belia yang berada dalam keadaan sihat tidak perlu ragu untuk menderma darah.
“Mereka sebaliknya perlu menderma darah secara berkala untuk membantu bank darah. Seorang penderma darah boleh membantu menyelamatkan tiga nyawa dan seseorang itu harus membiasakan diri berbuat demikian,” katanya.
Katanya lagi, mereka yang belum pernah menderma darah tidak perlu risau kerana sebelum itu kakitangan perubatan terlebih dahulu akan memeriksa tahap kesihatan mereka.
Beliau berkata PPBM akan terus bekerjasama dengan NGO dalam kempen derma darah untuk membantu bank darah hospital.
Turut hadir pada kempen itu ialah wakil Gereja SDA Tamparuli George Teo.
Janih kemudiannya menyampaikan paket beras kepada para penderma darah.
Sementara itu, George berkata pihak gereja menganjurkan kempen derma darah tersebut setiap dua bulan sekali dan sambutannya sentiasa baik.
“Tetapi, seperti yang dikatakan oleh Janih, kita memerlukan lebih ramai orang terutama golongan belia untuk tampil membantu menambah simpanan darah terutama di QEH,” katanya. – Warta Oriental