SIPITANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob menyarankan belia serta beliawanis di daerah itu untuk menceburi bidang pertanian bagi menjana pendapatan kerana ia mendapat permintaan yang cukup menggalakkan.
Jelasnya, antara tanaman yang wajar diusahakan ialah sayur-sayuran serta herba kerana ia tidak memerlukan jangka masa yang panjang untuk mendapat hasil dan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh ia mampu memberi pulangan yang cukup baik.
Beliau percaya ia juga dapat menggalakkan golongan muda mengamalkan gaya hidup yang lebih produktif dan pada masa sama mengurangkan kebergantungan terhadap pekerjaan yang memerlukan tempoh panjang untuk memperoleh hasil.
“Tanaman seperti cili, kangkung, sawi, atau herba seperti daun limau purut dan daun pandan dapat dituai dalam beberapa minggu dan hasilnya dapat memberikan pulangan segera.
“Ini adalah cara yang sangat praktikal untuk membuang sifat malas dan menggantikannya dengan sikap rajin atau ‘bagas’ dalam bahasa Kedayan,” katanya ketika merasmikan Karnival Belia 2024 di Kampung Bangsal, pada Isnin.
Karnival terbabit merupakan anjuran bersama Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin, Kelab Belia Kampung Bangsal, Kelab Belia Kampung Tanjung Nipis dan Pemaju Mukim Pantai.
Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad percaya dengan menggalakkan aktiviti berkebun dalam kalangan belia, mereka dapat memperoleh manfaat ekonomi serta memupuk nilai ketekunan dalam diri mereka.
Sementara itu Ketua Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat Sindumin, Nurfasiha Masri berkata, karnival yang diadakan selama dua hari itu mendapat sambutan yang amat menggalakan daripada masyarakat setempat.
Menurut beliau, karnival berkenaan akan diteruskan ke zon yang telah dikenal pasti dalam masa terdekat untuk mrealisasikan saranan yang diutarakan ADUN Sindumin (Dr Yusof) agar pergerakan sayap-sayap bahagian terus aktif dalam menyantuni masyarakat serta penduduk setempat.
— Kenneddy Corlleus/Penerangan Gagasan Rakyat