KALABAKAN: Belanjawan 2025 Sabah Maju Jaya adalah langkah strategik yang mengutamakan pembangunan seimbang dan kesejahteraan rakyat.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS negeri, Ahmad Dullah, PAS Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap pembentangan Belanjawan 2025 Sabah Maju Jaya oleh Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Katanya, peruntukan besar sebanyak RM729.79 juta untuk menaik taraf bekalan air dan jalan raya, terutamanya di kawasan pedalaman seperti Keningau dan Tenom, adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu asas yang telah lama membelenggu rakyat.
“Ini bukan sekadar belanjawan, ia adalah simbol kesungguhan kerajaan untuk memastikan keperluan asas rakyat dapat dipenuhi dengan lebih efektif dan menyeluruh.
“Belanjawan tersebut turut mencerminkan perhatian serius terhadap golongan B40 dengan peruntukan bantuan tunai langsung, subsidi dan program kebajikan yang diyakini dapat mengurangkan beban kos sara hidup,” ujarnya di sini, kelmarin.
Ahmad turut menekankan sokongan kepada belia Sabah yang mendapat manfaat melalui RM127 juta peruntukan biasiswa pendidikan serta peluang pekerjaan baharu dalam sektor ekonomi gig dan keusahawanan digital.
Menurutnya, langkah ini penting untuk membina generasi muda yang lebih berdikari dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa,.
“PAS Sabah turut memuji usaha kerajaan memperkukuh sektor pertanian termasuk melalui inisiatif pertanian pintar dan bantuan teknologi kepada petani serta nelayan,” katanya.
Ahmad menekankan pentingnya pengurusan fiskal yang cekap dan integriti dalam pelaksanaan bajet bagi mengelakkan ketirisan.
Beliau berharap, bantuan kepada rakyat dapat disalurkan dengan mudah, tanpa birokrasi yang menyukarkan.
Menurutnya, apa yang paling penting adalah impak langsung kepada rakyat Sabah, tanpa mengira niat politik pihak tertentu.
“PAS Sabah berharap belanjawan ini akan dilaksanakan dengan amanah selaras dengan keutamaan rakyat Sabah.
“Semoga bajet ini menjadi pemangkin kepada sebuah negeri Sabah yang sejahtera dengan manfaat yang dinikmati semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Tambahnya, PAS Sabah akan terus menyokong setiap agenda yang mementingkan rakyat.
“Isu yang perlu diutamakan ialah setiap bantuan yang sewajarnya sampai kepada rakyat disalurkan tanpa perlu birokrasi yang rumit,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY