Belanjawan 2023: Yusof Apdal Yakin PM Fahami Harapan Rakyat Sabah

Datuk-Mohd-Yusof-Apdal.jpg

Datuk Mohd Yusof Apdal (Gambaf fail))

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini dapat menyelami hasrat rakyat Sabah yang mahukan lebih banyak peruntukan disalurkan bagi pembangunan negeri ini menerusi Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula, 24 Februari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd Yusof Apdal berkata, beliau yakin Anwar memahami harapan rakyat Sabah dan menyantuni permintaan mereka.

Katanya, seiring dengan itu, kerajaan persekutuan sewajarnya menyalurkan peruntukan yang seharusnya diberikan kepada Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perdana Menteri kini tentunya sudah dapat menyelami hasrat dan dapat menyantuni masyarakat Sabah seperti yang dibuktikan dalam pelaksanaan MA63.

“Tentunya juga ini beriringan dengan peruntukan yang seharusnya diletakkan ke Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63,” katanya pada Program Berkhatan Perdana di Kampung Likas, di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Mohd Yusof yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu berkata, di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, beliau berharap peruntukan dapat dilebihkan sedikit.

“Di bawah kementerian, tentunya kita mengharapkan kalau ada kelebihan itu lebih baik untuk kita melaksanakan tanggungjawab demi kebaikan, khususnya institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan institusi yang lain.

“Tapi, saya yakin dan percaya bahawa pimpinan Anwar sentiasa meletakkan komitmen ini sebagai keutamaan beliau dan harapan kami di kementerian tentunya mahu mendapat peruntukan lebih sedikit untuk kita dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Yusof menyempurnakan Program Berkhatan Perdana di Masjid Jamek Kampung Likas, di sini, yang disertai seramai 120 kanak-kanak.

Katanya, ia dapat memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan agar dapat melaksanakan ibadah itu untuk anak masing-masing, di samping sama-sama memeriah atau mengimarahkan lagi program berkenaan. –HMetro

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top