KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diharap memberi perhatian terhadap usaha menyediakan lebih banyak rumah kos rendah di Sabah menerusi pembentangan semula Belanjawan 2023 yang dijadualkan pada 24 Februari ini.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, di Sabah saja pihaknya menerima kira-kira 50,000 permohonan bagi mendapatkan rumah kos rendah.
“Sebagai Pengerusi LPPB Sabah, sudah tentu menjadi satu impian yang besar bagi saya untuk menyediakan rumah kos rendah di seluruh negeri ini.
“Sekarang terdapat lebih kurang 50,000 lebih pemohon rumah kos rendah yang sedang menunggu giliran dalam sistem.
“Oleh itu, saya telah mengemukakan perkara ini kepada kepimpinan kerajaan negeri agar perkara ini diambil perhatian.
“Kita berazam untuk membina sekurang-kurangnya 50,000 atau 10,000 buah rumah bagi mengurangkan angka tersebut,” katanya
Beliau ditemui media selepas menyempurnakan Program Santai Menu Rahmah di Restoran Pak Mus, Plaza Tanjung Aru, di sini, kelmarin.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, selain kemudahan asas, rumah juga adalah perkara penting yang perlu diberikan keutamaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memberikan penekanan terhadap perkara itu.
“Oleh itu, perkara ini perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan dan juga pihak kerajaan negeri,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2023 pada persidangan Dewan Rakyat 24 Februari ini. – BORNEO TODAY