Belanjawan 2022: Banyak Manfaat Untuk Belia, Kata Fairuz

fairuz.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Armada BERSATU Sabah, Fairuz Renddan berkata, Belanjawan 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kelmarin mengutamakan rakyat dari semua sudut, termasuk golongan belia.

Katanya, sebanyak RM300 juta nilai keseluruhan peruntukan disediakan melalui Program e-Start kepada pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi (IPT) dan golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun, dengan pengkreditan RM150 secara one-off ke dalam akaun e-dompet.

“Selain itu, RM10 juta peruntukan kepada Majlis Sukan Negara untuk meningkatkan program latihan atlet OKU dan pelaksanaan Liga Sukan OKU, dan saya merasakan ini amat wajar kerana ramai belia kita, yang OKU, mempunyai kemahiran dalam bidang sukan dan boleh diketengahkan lagi,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini pada Sabtu.

Fairuz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, usaha Kerajaan untuk membantu golongan belia juga terbukti apabila insentif bagi tempoh enam bulan akan diberikan kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berusia 18 hingga 30 tahun.

“RM900 sebulan yang diberikan kepada majikan untuk tempoh enam bulan adalah antara usaha dan bukti bahawa pihak Kerajaan berusaha keras untuk memastikan golongan belia tidak tercicir daripada memperoleh pekerjaan, tidak kira bagi mereka yang merupakan lepasan sekolah menengah, mahupun graduan yang berusaha mencari pekerjaan tetap,” jelas Fairuz.

Tambah beliau lagi, perbelanjaan pembangunan untuk Sabah yang diumumkan dengan jumlah RM5.2 bilion juga adalah antara yang wajar dibanggakan dan bukti keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan di Sabah.

“Kerana itu, sejak kita mengambil alih pemerintahan negeri, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sering kali menekankan aspek pembangunan seimbang dan berkesan untuk Sabah dan kejayaan pembangunan serta pentadbiran hanya mampu dijayakan sekiranya haluan kita seiring dengan Kerajaan Persekutuan. Alhamdulillah, semuanya berhasil dan semoga usaha murni untuk membawa kemajuan kepada rakyat Sabah terus dapat direalisasikan,” ujar beliau lagi.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top