Belanjawan 2021: Tangguh Pengukuhan Fiskal Sehingga 2022 – Tok Mat

tok-mat.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, konsolidasi fiskal kerajaan mesti ditangguhkan seketika sehingga tahun 2022, sekali gus berharap ekonomi negara akan pulih sepenuhnya susulan pembentangan Belanjawan 2021 kelak.

Katanya, jika ekonomi pulih, perbelanjaan kerajaan boleh dikurangkan dan langkah penjimatan diutamakan semula.

“Namun, strategi menggandakan perbelanjaan dan rangsangan dalam Belanjawan 2021 bukanlah ‘blank cheque’ untuk kerajaan berbelanja secara boros.

“Perbelanjaan kerajaan masih perlu dirancang dan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan ketelusan dengan tekad untuk mencegah segala bentuk ketirisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan menetapkan 6 November depan sebagai tarikh pembentangan Belanjawan 2021.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Belanjawan 2021 mesti digubal dengan matlamat menggerakkan ekonomi yang mengutamakan sudut pandangan kemanusiaan.

Katanya, peningkatan hutang sementara bagi menampung penggandaan perbelanjaan adalah perlu, dengan matlamat yang mulia dan penting, iaitu menyelamatkan rakyat Malaysia yang paling terkesan oleh penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah sekatan serta memulihkan kehidupan mereka.

“Bagi menampung peningkatan perbelanjaan dalam Belanjawan 2021, saya menyeru kerajaan supaya terus menggunakan pinjaman tempatan dengan memanfaatkan pasaran bon tempatan, terutamanya sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) dan terbitan pelaburan kerajaan Malaysia (MGII).

“Penggunaan pinjaman tempatan tidak akan memberi kesan buruk kepada ekonomi memandangkan Malaysia tidak akan terikat dengan peraturan luar negara, berbanding pinjaman dengan peraturan ketat daripada institusi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Tambahan pula, pinjaman tempatan kurang terdedah kepada risiko perubahan kadar faedah asing serta risiko penyusutan mata wang kerana hutang tersebut adalah dalam denominasi ringgit,” katanya.

Mohamad berkata, Belanjawan 2021 perlu bersifat belanjawan mengembang bagi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas teruk.

Katanya, inilah masa kerajaan menggandakan bantuan dan rangsangan dengan menggunakan pendekatan bersasar kepada golongan yang paling terhimpit.

“Kita tidak boleh membiarkan rakyat hidup merana, perniagaan ditutup selamanya dan ekonomi negara terperangkap dalam ‘irreversible damage’,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top