KUCHING: Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam diagihkan secara adil kepada rakyat, kata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.
Beliau berkata, belanjawan itu dapat membantu rakyat dalam menghadapi bencana Covid-19, selain banyak memberi insentif kepada mereka yang terjejas oleh wabak itu.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kerana peruntukan yang diberikan kepada Sarawak, iaitu peruntukan infrastruktur yang berjumlah RM4.5 bilion, serta memberi balik peruntukan untuk menyukat hak tanah adat Bumiputera (NCR),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang di sini, malam tadi.
Belanjawan 2021 turut memperuntukkan sebanyak RM41 juta bagi program Hak Adat Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
“Setidak-tidaknya ia dapat membantu Sarawak dalam menghadapi cabaran yang agak sukar, di sebalik penularan wabak itu,” katanya. – FMT