KOTA KINABALU: Biarpun peruntukan pembangunan untuk Sabah dalam Belanjawan 2024 menunjukkan peningkatan RM100 juta namun, pelaksanaannya harus dimanfaatkan sepenuhnya.
Apa yang menjadi kebimbangan, apabila peruntukan pembangunan diberikan, pelaksanaannya kurang daripada 50 peratus setiap tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, sistem pelaksanaan perlu dipercepatkan agar peruntukan pembangunan itu dapat diguna pakai sepenuhnya.
Beliau berkata, peruntukan pembangunan RM6.6 bilion kepada Sabah amat dialu-alukan namun, masih ada perkara lain yang perlu diberi perhatian serius termasuk masalah air dan jalan raya di Sabah.
“Masalah air bersih di Sabah amat serius dan peruntukan berjumlah RM320 juta yang diluluskan sebelum ini tidak mampu menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah secara tuntas.
“Begitu juga dengan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang menerima RM15.7 bilion. Peruntukan itu hanya boleh melengkapkan baki kerja dalam pakej fasa satu manakala, peruntukan bagi fasa dua dan tiga masih belum diberikan sebarang peruntukan,” katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut melahirkan penghargaan terhadap Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi fokus kepada kos sara hidup rakyat, kebajikan penjawat awam dan agensi keselamatan yang telah bersara yang menerima insentif.
Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Sabah (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, sektor agro makanan menerima peningkatan peruntukan daripada RM1.8 kepada RM2.6 bilion dan ia satu peningkatan yang ketara.
Maka, bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu berharap peningkatan peruntukan itu mampu merancakkan pengeluaran makanan negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada import makanan daripada luar.
“Saya melihat peningkatan subsidi akan memberi cabaran kepada kementerian dalam memastikan senarai penerima dan kaedah agihan diperkemas bagi mengelak sebarang ketirisan.
“Dari segi harga lantai padi yang dinaikkan kepada RM1,300 per tan metrik pula tidak akan menyelesaikan isu manipulasi beras putih tempatan sekiranya tidak disusuli dengan langkah penguatkuasaan yang ketat,” katanya.
Ronald, yang juga Ahli Parlimen Beluran itu berkata, kenaikan RM100 per tan metrik itu membolehkan harga runcit beras meningkat daripada RM2.60 kepada RM3 sekilogram. Harga itu jauh lebuh murah berbanding harga beras import.
Jika dilihat kenaikan RM100 per tan metrik itu tidak selari dengan kenaikan harga runcit beras import bagi Sabah dan Sarawak seperti diluluskan kerajaan baru-baru ini. – UTUSAN