PENAMPANG: Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata para pemimpin dan ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) perlu menjadikan kesilapan lalu sebagai pembimbing untuk menjadi lebih baik dalam pilihan raya yang akan datang.
Katanya lagi, mereka perlu bergerak sejajar dengan perkembangan semasa.
Warta Oriental melaporkan Dr Maximus berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun PBS ke-38 di ITCC Penampang, di sini, malam semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Presiden PBS.
Dalam ucapan itu Dr Maximus menegaskan bahawa PBS harus memberi tumpuan untuk meningkatkan semangat perjuangan , seperti mana perjuangan pada tahun 1985.
“Kita juga perlu lebih kelihatan menarik di mata generasi muda so they feel welcome. Kita tidak perlu takut kepada mereka. We should not feel threatened kerana mereka adalah our future, asset perjuangan kita,” katanya.
Dr. Maximus berkata, perjuangan PBS belum selesai kerana masih banyak tugas yang perlu dipenuhi.
“Tetapi PBS adalah parti yang mempunyai objektif yang kukuh dan konsisten serta gigih menyuarakan pendapat untuk kebaikan negeri Sabah dan rakyat negeri ini.
“Pilihan Raya Umum Ke-14 dan 15 menjadi pengajaran kepada semua parti politik, dan PBS khususnya. Kita menyedari bahawa walaupun telah berkuasa selama beberapa dekad, ia tidak menjamin kemenangan mutlak sesebuah parti.
“PBS tidak boleh berpuas hati dengan sokongan sedia ada, budaya malas bukanlah pilihan. Rakyat melihat, mereka menilai kita, dan mereka lebih kritikal berbanding sebelum ini. We are under their watch at all times,” tegasnya.
Turut hadir Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai, Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki, Ahli-ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Ketua-ketua Bahagian, serta para pemimpin lain.