KOTA KINABALU: Seorang bekas wartawan yang meninggal dunia akibat komplikasi perubatan pada Januari lalu menjadi penderma organ pertama Sabah pada tahun ini.
Mendiang Kriscy Limjoon, 43, mendermakan sepasang mata atau kornea selepas pihak keluarganya memaklumkan hasrat ibu kepada dua anak itu untuk menderma organ bagi membantu pesakit lain yang memerlukan.
Kriscy dari Kampung Domis Hungab, Penampang, dikatakan memberitahu hasrat untuk menderma organ itu kepada keluarganya tetapi tidak berkesempatan sebagai pengikrar penderma organ.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Asits Sanna, berkata hasil penilaian mendapati hanya mata yang masih sesuai untuk didermakan dan pihak keluarga bersetuju meneruskan hasrat murni itu.
“Hanya korneanya sahaja yang dianggap sesuai untuk didermakan, dan keluarganya bersetuju,” kata Pengarah Kesihatan Sabah Dr Asits Sanna di laman Facebook rasmi jabatan itu pada Jumaat.
“Kornea yang dipindahkan telah berjaya ditransplan, dan membantu memulihkan penglihatan dua pesakit yang lain,” katanya.
Prosedur pendermaan organ dan transplan kepada pesakit yang menerima organ mendiang dilakukan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, baru-baru ini.
Menurut Dr Asits, pihak keluarga Kriscy menyifatkan mendiang sebagai seorang yang berhati murni, periang tetapi tegas dalam menjalankan tugas, selain suka membantu orang dan sentiasa memberi sokongan kepada peniaga tempatan.
Selain pernah menjadi wartawan, mendiang juga menjadi guru bahasa Inggeris sebuah sekolah swasta di negeri ini.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga di atas pendermaan ini. Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini.
“Jabatan juga ingin menggalakkan orang ramai supaya berbincang dengan keluarga tersayang mengenai topik pendermaan organ supaya mudah untuk mereka memberikan keputusan pendermaan setelah pemergian kita,” kata Dr Asits.