Bekas wartawan NST hidap kanser tulang terima sumbangan Tabung Kasih @ HAWANA

wartawan-NST.jpg

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (tengah) menyerahkan sumbangan Tabung Kasih @ HAWANA kepada bekas Ketua Bahagian Editorial NST Sabah dan Sarawak, Joseph Bingkasan di Kota Kinabalu. FOTO ihsan Kementerian Komunikasi dan Digital

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Bahagian Editorial New Straits Times (NST) Sabah dan Sarawak, Joseph Bingkasan, menerima sumbangan Tabung Kasih @ HAWANA bagi membantu meringankan beban beliau yang kini bertarung dengan kanser tulang.

Wartawan veteran berumur 68 tahun itu menerima sumbangan berkenaan yang disampaikan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil ketika lawatan di kediamannya di Kampung Kionsom, Inanam, dekat sini, petang semalam.

Joseph disahkan menghidap kanser tulang sejak 2014 selain turut berdepan masalah kegagalan buah pinggang dan darah tinggi.

Beliau berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan bermula sebagai penyunting di akhbar Kinabalu Sabah Times pada 1977 sebelum menyertai New Straits Times Press (NSTP) sebagai koresponden di Sabah.

Beliau juga pernah bertugas di Times of Malaysia London Ltd iaitu Pejabat NST di London sebelum dilantik sebagai Ketua Bahagian Editorial NST Sabah dan Sarawak yang berpusat di Kuching selain turut pernah bertugas di akhbar tempatan Sabah, Daily Express.

Sementara itu, Fahmi yang dalam rangka lawatan kerja ke Sabah bermula Jumaat lalu hingga esok, berkata Tabung Kasih @ HAWANA yang diwujudkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

“Ia adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sejak 14 April 2023 sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.

“Setakat ini, seramai 24 pengamal media mendapat manfaat daripada Tabung Kasih @ HAWANA. Semoga usaha ini dapat meringankan sedikit beban kesemua penerima sumbangan,” katanya. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top