KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin, dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Yahya, 71, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, menggantikan Datuk Dr Hasbullah Taha yang menyandang jawatan itu sejak Julai 2018.
Watikah pelantikan Yahya sebagai Yang Dipertua MUIS yang baharu diserahkan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor di pejabatnya, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.
Sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018, Yahya pernah memegang portfolio Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, pendakwah bebas yang juga bekas pegawai di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Malai Ali Malai Ahmad, 57, pula dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua MUIS, menggantikan Datuk Matussin Awang Damit.
Hajiji turut menyerahkan watikah pelantikan Timbalan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah yang baharu kepada Ag Syairin Ag Bakar, 60.
Ag Syairin yang juga bekas pegawai kanan MUIS dan JHEAINS, menggantikan penyandang jawatan berkenaan, Abdul Rahman Md Yacob.