Bekas Timbalan Presiden KDM Kini Ahli GRS

Juil-Nuatim.jpg

Datuk Juil Nuatim

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Dua hari selepas mengumumkan keluar Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai ahli langsung.

Menurut Bharian penyertaan bekas Timbalan Presiden KDM itu ke dalam GRS disahkan Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun menerusi satu kenyataan, petang tadi.

“Bekas Timbalan Presiden KDM, Datuk Juil Nuatim diterima sebagai ahli langsung GRS.

“Permohonannya diserahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan disaksikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffery Kitingan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam,” katanya dalam kenyataan itu.

Tindakan diambil Juil itu ketika kerajaan Sabah pimpinan Hajiji dijadual membentangkan rang undang-undang anti-lompat pada persidangan DUN, minggu ini.

Juil merupakan bekas timbalan presiden KDM, parti pimpinan Datuk Peter Anthony sebelum mengumumkan keluar parti, pada Ahad.

Menurut Juil, tindakannya berpihak kepada kerajaan negeri sekarang lebih baik bagi memastikan peruntukan mencukupi untuk pembangunan kawasannya.

Juil menang kerusi Limbahau atas tiket Warisan pada PRN Sabah 2020, namun meninggalkan parti itu pada Disember 2021 bersama Peter yang juga Adun Melalap. Mereka kemudiannya mengasaskan penubuhan KDM.

KDM pada mulanya menyatakan pendirian menyokong kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi kemudian menyertai WARISAN dan UMNO Sabah dalam cubaan menjatuhkan Hajiji ketika krisis politik Sabah pada Januari lalu.

Bagaimanapun, pada Mac lalu, Peter melakukan pusingan U menyatakan kembali menyokong Hajiji dan GRS.

Juil sebelum ini menyatakan walaupun KDM mengubah pendirian terhadap GRS ketika krisis politik Sabah, sokongannya terhadap Hajiji dan GRS tidak pernah berubah.

GRS adalah sebuah gabungan yang didaftarkan secara rasmi sebagai parti politik pada awal tahun lalu dengan keahliannya merangkumi parti politik tempatan dan individu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top